Cegah kemalangan, doa jadi pelindung setiap Mukmin
STATISTIK harian kemalangan yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 29 Disember 2024 menunjukkan terdapat 1,372 kes kemalangan membabitkan 14 kematian.
Malah, baru-baru ini kemalangan ngeri yang berlaku membabitkan sebuah bas persiaran, lori dan beberapa buah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ayer Keroh, Melaka telah menyebabkan lima sekeluarga terkorban.

Itu di Malaysia. Di luar negara pula, dalam tempoh seminggu, dunia dikejutkan dengan empat nahas pesawat yang mengorbankan banyak nyawa selain beberapa kes pesawat mengalami kerosakan teknikal dan tergelincir di landasan.
Menurut agama Islam, insiden tragis seperti ini disebut sebagai takdir yang telah tersurat.
Meskipun kejadian itu mungkin disebabkan kecuaian manusia atau masalah teknikal, hakikatnya ia berlaku atas izin Allah yang mentadbir seluruh isi dunia.

Lantaran itu, dalam usaha mengelakkan musibah atau insiden malang seperti kemalangan, amat penting bagi umat Islam mengambil langkah pencegahan dalam aspek fizikal dan spiritual.
Ketua Persijilan Pengajian Islam, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, salah satu amalan yang diajar agama ialah membaca doa sebelum menaiki kenderaan.
“Amalan membaca doa menaiki kenderaan ini merupakan tanda tawakal kita selaku hamba kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan memohon perlindungan-Nya.

Doa khusus untuk tawakal menaiki kenderaan ini dipetik dari Al-Quran iaitu ayat 13 dan 14 Surah Az-Zukhruf, yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menundukkan semuanya bagi kami, sedangkan kami sebelum ini tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kepada Allah kami akan kembali.”
Jelas Ustazah Amienah lagi, amalan berdoa sebelum menaiki kenderaan atau memulakan perjalanan bukanlah sekadar ritual, namun ia adalah satu perisai spiritual.
Dalam satu hadis Riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Berdoalah kepada Allah dengan penuh keyakinan bahawa doa kamu akan diperkenankan dan ketahuilah bahawa Allah tidak memperkenankan doa daripada hati yang lalai.”
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa doa yang dibaca dan diucap dengan ikhlas dan penuh pengharapan pasti dikabulkan dan tentunya mengundang rahmat Allah SWT.

Menurut Ustazah Amienah, melalui bacaan doa menaiki kenderaan, ia mengajar kita untuk mengakui kebesaran Allah yang telah memberi nikmat kenderaan untuk mempermudahkan perjalanan kita di atas muka bumi ini.
Ia juga bertujuan untuk menyedarkan kekerdilan kita sebagai hamba yang hakikatnya tidak mampu melakukan apa-apa perbuatan selain bergantung dalam aspek hanya kepada Allah SWT.
“Melalui bacaan doa menaiki kenderaan ini, ia mengajar kita untuk mengakui kebesaran Allah yang telah memberi nikmat kenderaan untuk mempermudahkan perjalanan manusia.
“Membacanya bukan sahaja satu bentuk ibadah, namun ia juga adalah suatu pengakuan bahawa Allah adalah sebaik-baik penjaga,” jelas Ustazah Amienah kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau juga, bermusafir mempunyai adab-adab yang perlu dijaga dan disantuni oleh umat Islam.

“Agama kita sangat menitikberatkan adab dalam setiap aspek kehidupan. Ini termasuklah adab ketika bermusafir. Antaranya ialah berniat musafir yang baik, memastikan kenderaan diperiksa dan dipandu dengan baik juga sentiasa berwaspada dengan persekitaran sebagai usaha menjaga keselamatan.
“Dan yang terakhir sebelum memulakan perjalanan hendaklah membaca doa sebagai tanda tawakal setelah berusaha.
“Di samping itu, amalan berzikir atau mendengar ayat-ayat suci Al-Quran sepanjang perjalanan boleh dijadikan rutin. Ini kerana jika kita istiqamah melakukannya, Insya-Allah, perjalanan kita sentiasa berada dalam perlindungan dan penjagaan Allah,” ungkap beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha dan tawakal yang seiring ini tidaklah menafikan kekuasaan Allah yang Maha Mentakdirkan setiap perkara.
“Walaupun niat kita telah baik, usaha kita menjaga keselamatan telah dilaksanakan, doa juga telah diamalkan, namun kehendak Allah adalah takdir yang perlu kita hormati selaku hamba, kerana diwajibkan untuk seluruh umat Islam beriman kepada qada’ dan qadar Allah,” tegasnya.
Walaubagaimanapun, beliau turut menasihati semua pihak, sama ada pengguna pengangkutan awam, pemandu pengangkutan peribadi, individu atau sesiapa sahaja untuk sering cakna dengan persekitaran dan berusaha untuk mengelak sebarang kemudaratan yang berpunca daripada kecuaian.
“Doa adalah wasilah yang perlu dijadikan rutin amalan kecil kerana hakikatnya ia mampu memberi impak yang sangat besar kepada umat Islam khususnya,” kata Ustazah Amienah.
Justeru, nasihat beliau untuk berjalan di atas muka bumi ini sebagai hamba Tuhan, wajarlah adab bermusafir diteliti bermula dengan memperbaiki niat.

Pertama pastikan niat perjalanan adalah untuk tujuan yang baik, sama ada bekerja, menziarahi keluarga atau menuntut ilmu.
Kedua perlulah diusahakan penjagaan keselamatan kenderaan dan pemanduan serta sering berhati-hati dan mengelakkan daripada berlakunya sebarang kecuaian.
Berdoa tanpa usaha bukanlah anjuran Islam dan usaha yang sering dipraktikkan adalah seperti penjagaan kenderaan yang berjadual, penggunaan alatan keselamatan seperti tali pinggang keselamatan, topi keledar dan pakaian yang berwarna terang di malam hari perlu diamalkan.

Ketiga adab sesama pengguna hak awam perlulah dihormati. Sikap tergesa-gesa, sombong, cabar-mencabar, berlumba-lumba, ego dan pentingkan diri sendiri adalah kecuaian yang hanya merosakkan diri tanpa sedar.
Dan yang terakhir, hendaklah sentiasa berdoa sebagai usaha akhir untuk bertawakal. Bukan hanya sekadar membaca doa menaiki kenderaan, sebaliknya boleh juga diamalkan pembacaan Surah Al Fatihah dan Ayat Kursi kerana kedua-duanya juga mempunyai khasiat penjagaan keselamatan yang tersendiri.
“Layaklah doa dijadikan senjata dan perlindungan terbaik bagi seorang Muslim. Semoga dengan cara ini, setiap langkah perjalanan kita dilindungi dan dipermudahkan oleh Allah SWT, permusafiran kita diberkati dan perjalanan kita sampai ke destinasinya dengan aman. Insya-Allah,” katanya menutup bicara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






