
DALAM era digital masa kini, media sosial telah menjadi wadah utama untuk berkongsi segala rutin kehidupan seharian.
Apatah lagi di musim perayaan ini, masing-masing seperti berlumba-lumba menunjukkan kesempurnaan dan kebahagiaan yang dikecapi.
Daripada makanan yang dimakan, pakaian yang dipakai, keluarga termasuk pasangan dan anak-anak, hinggalah kepada wang ringgit, harta dan percutian yang dinikmati semua ditayang di media sosial bagi meraih perhatian ramai di sebalik alasan menyimpan kenangan.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, walaupun perkongsian sebegini dilihat sebagai satu bentuk ekspresi diri, namun budaya menunjuk-nunjuk atau showing off yang semakin berleluasa telah menjadi satu fenomena membimbangkan, khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Fenomena ini bukan sahaja membentuk masyarakat yang berpaksikan materialisme malah ia turut menanam benih riak, ujub dan takabbur dalam hati individu tanpa disedari.
“Harus diingat amalan menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah dilarang keras oleh Islam kerana ia bertentangan dengan ajaran tauhid yang murni dan merosakkan keikhlasan amalan seseorang,” ujar Ustazah Amienah kepada Malaysia Tribune.

Beliau turut membawakan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid, ayat 20 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan hiburan, serta perhiasan, juga bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak. (Semuanya itu terhad waktunya).”
Menurut beliau, ayat di atas jelas menggambarkan bahawa bermegah-megah dengan harta, penampilan atau status hanyalah sebahagian daripada tipu daya dunia yang sia-sia jika tidak diiringi dengan keinsafan dan niat kerana Allah SWT.
Malah, tegasnya Rasulullah SAW pernah memberi amaran mengenai perbuatan menunjuk-nunjuk ini melalui sabda Baginda SAW:
“Sesiapa yang memakai pakaian untuk bermegah-megah di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada Hari Kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

“Hadis ini memberikan peringatan tegas bahawa niat untuk menunjuk-nunjuk bukan sahaja ditolak malah membawa azab di akhirat kelak.
“Maka, perbuatan memuat naik gambar kemewahan, status eksklusif atau pencapaian tertentu semata-mata untuk meraih pujian manusia adalah satu bentuk riak yang tersembunyi.
“Hakikatnya Islam tidak melarang penggunaan media sosial yang wujud pada masa ini namun, ia menuntut agar setiap perbuatan disertai dengan niat yang ikhlas.
“Memuat naik gambar keluarga, kejayaan atau pencapaian tidaklah salah, selagi ia tidak disertai dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau merendahkan orang lain,” jelas beliau lagi.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada niat dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, Ustazah Amienah menegaskan bahawa menunjuk-nunjuk di media sosial bukan sahaja memburukkan akhlak individu, malah menjejaskan nilai kemasyarakatan dan ukhuwah sesama insan.
“Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memelihara niat, mengekang hawa nafsu dan menzahirkan akhlak yang mulia walau di mana sahaja termasuk di alam maya.
“Awaslah sebelum membuat perkongsian, kerana sebaik-baik perkongsian adalah yang berpaksikan kepada dua elemen penting. Pertama makluman kepada orang ramai dan yang kedua adalah penyampaian terhadap ilmu yang bermanfaat.
“Selain daripada dua elemen ini, eloklah dijauhi kerana dibimbangi akan menghasilkan dosa yang mengalir tanpa disedari. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang ikhlas dan tawaduk serta dijauhkan daripada penyakit hati termasuk sifat riak dan takabbur yang membinasakan,” katanya menutup bicara.

Berikut dikongsi beberapa solusi yang boleh kita lakukan agar terhindar daripada perbuatan riak di media sosial:
1. Mujahadah melawan riak
Sentiasa muhasabah diri sebelum berkongsi sesuatu.
2. Bersederhana dalam penampilan dan perkongsian
Hindari daripada memuat naik perkara yang boleh menimbulkan iri hati atau rasa rendah diri kepada orang lain.
3. Didik hati dengan sifat tawaduk dan syukur
Fahami bahawa segala nikmat hanyalah pinjaman daripada Allah SWT bukan untuk dibangga-banggakan.
Doa memohon dibersihkan hati:
“Ya Allah, limpahkanlah ketakwaan pada jiwaku dan sucikanlah ia, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik Zat yang menyucikan jiwa, Engkaulah pelindung dan pemeliharanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |