Program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) merupakan cetusan ilham daripada Timbalan Dekan Akademik (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Pengajian Quran dan Sunah (FPQS), Prof Madya Dr. Noornajihan Ja’afar.
Oleh : KHAIRUN NUHA ABD RAZAK
TANPA suara, tanpa bunyi. Tahukan anda, ada insan istimewa yang tekun mengaji al-Quran di luar cara kebiasaan kita? Meski pun begitu, hati-hati mereka tetap bergema dengan kalam Ilahi.
Sedangkan kita yang sempurna pancaindera hanya menjadikan al-Quran sekadar penghias rak di rumah.
Dalam dunia serba canggih ini, teknologi bukan hanya memudahkan komunikasi tetapi juga membuka ruang bagi umat Islam untuk terus menghubungkan diri dengan al-Quran.

Bagi yang diuji dengan kekurangan pendengaran, mengaji al-Quran bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Mengajar orang pekak bukanlah seperti mengajar orang biasa. Ia penuh dengan cabaran. Cabaran dari segi komunikasi, keterbatasan akses dan kekangan pengajaran yang sesuai.
Semangat orang pekak (OP) belajar al-Quran mengingatkan kita bahawa keimanan bukan soal kesempurnaan fizikal.
Namun mereka pula telah membuktikan bahawa kekurangan bukannya penghalang, bahkan pemangkin.
Yang penting ialah keinginan dan usaha. Lalu, adakah al-Quran hanya dibuka bila sempat, dibaca bila rajin atau disentuh bila diuji?
Kita yang sempurna, mereka yang lebih ‘sedar’.
Kursus dakwah tanpa suara: Titik permulaan
Sebelum menyelami dunia unik ini, saya sendiri perlu belajar ‘berdiam diri’. Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) Siri 1 dan 2 menjadi pintu masuk ke dunia komunikasi tanpa suara.
Kami diberi pendedahan melalui KDTS Siri 1 dan Siri 2.
Siri pertama memperkenalkan asas komunikasi dengan pendedahan huruf-huruf abjad, bagaimana menghormati ruang bicara OKU pendengaran dan adab berinteraksi dengan mereka.

Siri kedua pula mengajar kami tentang Kod Tangan al-Quran (KTQ) dan bagaimana membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat khas, berpandukan buku al-Rasm al-Ishari: Pra-Tilawah Quran Isyarat.
Semua latihan ini menjadi bekalan penting sebelum kami benar-benar dapat berinteraksi secara online dalam program tadarus, yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan.
Ia bukan sekadar kelas tadarus. Ia adalah satu platform yang memberi ruang dan peluang buat mereka mempelajari Al-Quran.
Satu juzuk, satu OP: Tadarus dalam bahasa isyarat
Jika selama ini kita menyangka hanya yang celik pendengaran mampu menikmati keindahan Kalamullah, maka anda perlu menyaksikan sendiri bagaimana OP menghidupkan malam-malam Ramadan mereka bukan dengan suara, tetapi dengan bahasa isyarat.
Walaupun kelas dilakukan secara dalam talian, setiap pelajar wajib membuka kamera.
Bukan untuk memastikan kehadiran, tetapi kerana ‘suara’ mereka terletak pada riak wajah, gerakan tangan dan tumpuan mata.

Tanpa visual, komunikasi terputus. Di sinilah letaknya keajaiban bahasa isyarat iaitu tangan mereka menjadi lidah dan jari-jari mereka menjadi suara.
Program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) merupakan cetusan ilham daripada Timbalan Dekan Akademik (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Pengajian Quran dan Sunah (FPQS), Prof Madya Dr. Noornajihan Ja’afar, seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Selain itu, objektif OTTS bukan sekadar memperkenalkan huruf Hijaiyyah dalam bentuk isyarat, tetapi menghidupkan semangat serta membudayakan tadarus al-Quran dalam kalangan OKU pendengaran.
Dengan konsep ‘Satu Juzuk, Satu OP’ , setiap peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil mengikut jumlah juzuk Al-Quran iaitu 30 juzuk.
Setiap kumpulan mempunyai tiga orang ahli dengan seorang peserta OKU pendengaran, seorang guru dan seorang fasilitator.
Peserta membaca al-Quran melalui kaedah Al-Rasm Al-Ishari iaitu sistem bahasa isyarat khas untuk pengajian al-Quran.

Antara aktiviti sepanjang OTTS termasuk pengenalan huruf hijaiyyah, latihan membaca surah-surah pilihan menggunakan Kod Tangan Quran (KTQ) dan huruf-huruf yang OP keliru seperti alif maksurah.
Selain itu, turut diadakan latihan eja huruf bersambung, tazkirah ganjaran bersahabat dengan al-Quran, tadabbur ayat-ayat pilihan seperti surah al-Baqarah ayat 183-186 dan surah al-Kahfi (ashabul kahfi).
Seterusnya, penutup bagi program ini diserikan lagi dengan ceramah Nuzul al-Quran yang bertajuk ‘Tadabbur Quran: Kunci Keimanan yang Mantap’.
Program serupa di Indonesia: Menyambung talian dakwah tanpa suara
Usaha membawa al-Quran kepada komuniti pekak bukan hanya berlaku di Malaysia. Di negara Islam yang lain seperti Indonesia, terdapat juga inisiatif yang serupa.
Sebagai contoh di Indonesia, organisasi seperti Majelis Ta’lim Tuli Indonesia (MTTI) menjalankan kelas mengaji dan majlis ilmu dengan menggunakan Bahasa Isyarat Indonesia secara berkala di masjid-masjid tertentu.
Di platform media sosial juga mereka sangat aktif melakukan kelas bahasa isyarat seperti Pusat Bahasa Isyarat Indonesia (PUSBISINDO).
Bagaimanapun di Malaysia, Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) dilihat sebagai antara pelopor program berstruktur secara sistematik yang menggabungkan elemen kursus persediaan, kod tangan al-Quran, tadabbur dan tadarus berjemaah dalam talian.
Ia menjadikan program itu unik dan lebih menyeluruh.
Tanggungjawab masyarakat: Jangan biarkan mereka
Masyarakat harus menyedari bahawa komuniti orang pekak bukan golongan yang patut dipinggirkan dalam urusan ibadah dan pendidikan agama.
Masjid dan institusi pengajian agama seharusnya lebih bersedia dengan tenaga pengajar yang mampu berkomunikasi melalui bahasa isyarat atau sekurang-kurangnya menyediakan jurubahasa.
Akses kepada pengajian Al-Quran mesti diluaskan agar tiada siapa yang tertinggal hanya kerana mereka tidak boleh mendengar.

Lebih ramai guru agama perlu dilatih untuk memahami dunia OKU pendengaran.
Jika dahulu, kita berbicara tentang dakwah melalui mimbar dan ceramah, hari ini kita perlu mula berfikir tentang dakwah melalui jari dan wajah.
Sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan الم satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
* Penulis merupakan pelajar Program Pengurusan dan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








