AgamaRencana

Aidilfitri : Semai rasa syukur dalam diri anak-anak

SAMBUTAN Aidilfitri bukan sekadar perayaan memperagakan pakaian baharu dan berjamu hidangan-hidangan lazat tetapi sambutan hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah berpuasa dengan penuh kesyukuran.

Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor berkata, setiap kali hari raya ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak bahawa setiap nikmat yang dikecapi datangnya daripada Allah SWT.

“Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, ibu bapa bertanggungjawab menanam nilai kesyukuran, kesederhanaan, penghargaan dan keinsafan terhadap nikmat yang telah dikurniakan kepada anak-anak,” kata Dr. Khairunneezam kepada Malaysia Tribune.

Ibu bapa bertanggungjawab menanam nilai kesyukuran, kesederhanaan, penghargaan dan keinsafan terhadap nikmat yang telah dikurniakan kepada anak-anak.

Tambah beliau, kesyukuran merupakan asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memberitahu: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.'”

Lantaran itu, jelasnya, ibu bapa harus mendidik anak-anak agar tidak sekadar bersuka ria pada hari raya, tetapi juga bersyukur atas rezeki yang diberikan serta tidak berlebihan dalam berbelanja atau berpakaian.

Menurut Dr. Khairunneezam lagi, Rasulullah SAW sendiri mencontohkan bagaimana Aidilfitri disambut dengan sederhana tetapi penuh kegembiraan.

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Bagi orang yang berpuasa, ada dua kebahagiaan: kebahagiaan ketika berbuka puasa dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Tuhannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

“Ini menunjukkan bahawa kegembiraan di Aidilfitri bukan hanya dalam bentuk material seperti pakaian baru atau makanan lazat, tetapi lebih kepada kepuasan spiritual setelah berjaya menunaikan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, sebagai ibu bapa, mendidik anak-anak tentang kesyukuran boleh dilakukan dengan beberapa cara.

“Pertama, menggalakkan mereka bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Selain memberi duit raya pada anak-anak, didik juga mereka agar berkongsi dengan golongan yang memerlukan.

“Aidilfitri adalah masa untuk berkongsi rezeki dan dengan membawa anak-anak untuk memberikan sumbangan kepada fakir miskin atau anak yatim, mereka akan belajar untuk menghargai nikmat yang mereka miliki,” jelasnya.

Galakan itu selaras dengan sabda Nabi SAW: “Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

“Kedua, menerapkan konsep bersyukur dengan menghargai perkara kecil seperti makanan yang terhidang, pakaian yang dipakai dan nikmat kesihatan.

“Ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk merenung bagaimana masih ramai insan di dunia yang tidak dapat menikmati Aidilfitri dengan sempurna kerana kemiskinan atau peperangan.

“Ketiga, mengajar adab ketika menerima hadiah atau duit raya. Anak-anak harus dididik mengucapkan terima kasih dan tidak bersikap tamak.

Pemberian duit raya perlu seiring dengan ingatan terhadap anak-anak agar sentiasa bersyukur.

“Jika mereka menerima sesuatu yang sederhana, ajar mereka supaya bersyukur dan tidak membanding-bandingkan dengan apa yang dinikmati orang lain,” tegas beliau.

Di samping itu, Aidilfitri juga adalah masa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memohon maaf antara satu sama lain.

“Ibu bapa perlu mencontohkan sikap rendah hati dengan meminta maaf serta memaafkan kesalahan orang lain.

“Bawa anak-anak menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih daripada tiga hari.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Saling bermaafan merupakan amalan yang perlu dititikberatkan ibu bapa terhadap si kecil mereka.

“Justeru, mereka harus dibimbing untuk memupuk nilai kasih sayang dan hormat kepada ahli keluarga serta saudara-mara,” katanya.

Hakikatnya, mendidik anak-anak menyambut Aidilfitri dengan kesyukuran bukan hanya menjadikan mereka lebih beradab, tetapi juga membentuk peribadi Muslim yang memahami erti sebenar hari kemenangan itu.

“Dengan bimbingan yang betul, mereka bukan sahaja dapat meraikan Aidilfitri dengan rasa kegembiraan, tetapi juga dengan hati yang penuh keinsafan dan kesyukuran kepada Tuhan,” katanya menutup bicara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button