AGAMARENCANA

7 jenis rezeki dari Allah yang perlu kita syukuri

Ia datang dalam pelbagai bentuk, ada yang jelas kelihatan dan ada juga yang tersembunyi dalam bentuk hikmah dan ujian

DALAM menjalani kehidupan seharian, ramai antara kita menyamakan rezeki dengan wang, kekayaan atau kemewahan semata-mata.

Hakikatnya, rezeki itu jauh lebih luas daripada apa yang dapat dihitung dengan mata kasar atau dinilai dengan angka dalam akaun bank.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, rezeki ialah segala pemberian Allah yang membawa manfaat, ketenangan dan kelangsungan hidup baik dari segi fizikal, mental mahupun spiritual.

Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al Hafiz

“Ia datang dalam pelbagai bentuk, ada yang jelas kelihatan dan ada juga yang tersembunyi dalam bentuk hikmah dan ujian.

“Rezeki juga bukan sekadar soal ‘berapa banyak’ yang kita terima, tetapi berapa besar keberkatan yang mengiringinya.

“Ada yang sedikit tetapi cukup dan membahagiakan, ada pula yang banyak tetapi mengundang resah dan beban,” jelas beliau ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Rezeki bukan sekadar duit atau harta semata-mata tetapi keberkatan yang mengiringinya. 

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah kolej itu juga membawakan khalayak kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Perbendaharaan orang Mukmin itu adalah Tuhannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Menurut beliau, sabdaan Rasulullah SAW itu mengingatkan kita bahawa sumber sebenar segala rezeki adalah Allah SWT.

“Maka, apabila seseorang itu yakin dan bergantung sepenuhnya kepada Allah, dia tidak akan pernah berasa sempit atau putus harapan kerana dia tahu bahawa rezekinya dijaga oleh Tuhan yang Maha Kaya dan lagi Maha Penyayang,” tegasnya.

Tambah beliau, terdapat 7 jenis rezeki dari Allah SWT yang perlu kita kenal, hargai dan syukuri:

1. Rezeki yang telah dijamin (Rezeki asasi)

Setiap makhluk telah dijamin keperluan asas hidupnya oleh Allah SWT termasuk makanan, minuman, tempat tinggal dan udara yang dihirup.

Setiap makhluk telah dijamin rezekinya oleh Allah SWT termasuklah makan minum dan tempat tinggal. – Gambar hiasan

Ini adalah rezeki yang setiap insan pasti akan peroleh dalam kadar yang ditentukan Allah.

“Dan tidak ada satu makhluk melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya.” — [Surah Hud, ayat 6]

2. Rezeki kerja keras (Usaha dan ikhtiar)

Allah SWT memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha tanpa jemu. Rezeki ini datang hasil daripada kegigihan bekerja, berniaga, menuntut ilmu dan berusaha memperbaiki diri.

Mereka yang berusaha mencari rezeki dengan bekerja juga mendapat ganjaran ibadah dari Allah SWT.

“Tidaklah manusia mendapat apa-apa melainkan apa yang diusahakannya.” — [Surah An-Najm, ayat 39]

3. Rezeki syukur

Semakin banyak kita bersyukur, semakin Allah akan menambah rezeki kita — bukan hanya dari segi harta, tetapi juga ketenangan, kesihatan dan kasih sayang.

“Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.” — [Surah Ibrahim, ayat 7]

Mensyukuri nikmat Allah SWT sama ada banyak atau sedikit akan menyebabkan rezeki seseorang itu sentiasa bertambah. 

4. Rezeki sabar

Ujian hidup seperti kesusahan, kehilangan atau kegagalan juga merupakan rezeki kerana ia membuka pintu keampunan, pahala dan pengalaman hidup yang menguatkan jiwa.

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” — [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Mereka yang bersabar dengan ujian hidup seperti kegagalan dalam perkahwinan juga akan diberikan rezeki oleh Allah SWT.

5. Rezeki tak disangka (Tanpa diduga)

Ini adalah rezeki luar jangka yang datang secara tiba-tiba, seperti pertolongan saat kesempitan, peluang yang tidak dirancang atau bantuan daripada orang yang tidak dikenali.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” — [Surah At-Talaq, ayat 2–3]

Memperbanyakan istighfar juga boleh membuka pintu rezeki yang hadir tanpa disangka.

6. Rezeki kesihatan dan ketenangan

Nikmat kesihatan tubuh badan, minda yang sihat dan jiwa yang tenang adalah rezeki yang sangat berharga walaupun tidak dapat diukur dengan wang.

Sabda Rasulullah SAW: “Dua nikmat yang sering manusia lupakan: kesihatan dan masa lapang.” — (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesihatan adalah antara nikmat yang sering dilupakan manusia. 

7. Rezeki yang mengalir (Sedekah dan amal jariah)

Rezeki ini datang apabila kita memberi kepada orang lain. Sedekah yang ikhlas akan diganti oleh Allah dengan rezeki yang berkali ganda sama ada dalam bentuk harta, kebahagiaan atau perlindungan daripada bala.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. — [Surah Al-Baqarah, ayat 261]

Amalan bersedekah sangat mulia dan mempunyai kelebihan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Kesimpulan

Hakikatnya, rezeki itu bukan soal ‘berapa banyak’ yang kita miliki tetapi betapa besar kesan dan barakahnya dalam kehidupan kita di dunia ini.

Dengan bersyukur, berusaha dan bertawakal, kita akan sentiasa berada dalam limpahan rezeki Allah SWT dalam bentuk yang mungkin tidak kita jangka, tapi sangat kita perlukan.

Percayalah, kerana ia jaminan dari Tuhan.

BACA : Kelebihan bersedekah buat ahli keluarga 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button