AGAMABERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Kerajaaan salur RM150 juta naik taraf 1,250 sekolah agama rakyat tahun ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM150 juta telah disalurkan sepenuhnya tahun ini bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf 1,250 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negara, kata
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Menurut Dr Zulkifli, daripada jumlah itu, 820 sekolah agama dan 430 premis Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menerima manfaat melalui agihan sebanyak RM87.07 juta, manakala RM62.93 juta lagi disalurkan kepada institusi pendidikan Islam lain yang terpilih.

“Bermula 2023 hingga 2025, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM370 juta kepada JAKIM.

Sepanjang tempoh tersebut, jumlah peruntukan yang disalurkan ialah RM100 juta pada 2023, RM120 juta pada 2024 dan RM150 juta pada 2025, nampak kenaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN–Pokok Sena) mengenai jumlah bantuan disalurkan kepada SAR bagi tahun 2025 pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli berkata, skop bantuan berkenaan merangkumi aspek keselamatan, infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, penyelenggaraan bangunan serta sistem perpaipan, dan inisiatif itu akan terus diperkukuh pada tahun 2026.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai mekanisme bagi memastikan agihan seimbang antara sekolah agama di bandar dan luar bandar, beliau menjelaskan bantuan diagihkan berdasarkan keperluan sebenar institusi, bukan semata-mata faktor lokasi.

“Permohonan dibuat sendiri oleh institusi pendidikan Islam sebelum dinilai melalui peringkat jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa induk bagi memastikan ketelusan serta kesesuaian peruntukan,” katanya.

Menurutnya, taburan bantuan itu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira pelbagai kategori institusi pendidikan Islam merangkumi 76 pondok swasta, 274 tahfiz swasta, 820 sekolah agama dan 430 kelas KAFA di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button