AbxFGR 2026 lebarkan sayap ke London, Brunei dan Pulau Pinang
KUALA LUMPUR – Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR) terus mencipta sejarah apabila festival raya terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia itu bakal menembusi pasaran global dengan penganjuran edisi sulung di London tahun depan.
Festival yang telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Pameran Festival Raya Terbesar di Malaysia selama dua tahun berturut-turut itu turut mengembangkan sayapnya ke dua destinasi baharu lain iaitu Pulau Pinang dan Brunei Darussalam.
Penganjuran di luar negara akan bermula di Bridex International Convention Centre, Brunei dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026, sebelum diteruskan ke PICCA Convention Centre, Pulau Pinang dari 6 hingga 8 Mac 2026, manakala edisi Kuala Lumpur berlangsung di MITEC dari 13 hingga 16 Mac 2026.
Selain itu, ABxFGR akan melancarkan platform baharu dikenali sebagai Absolut Bazaar x MYExpo di Exhibition White City, London pada 2 dan 3 Mei tahun depan, khusus untuk memperkasakan usahawan tempatan di pentas antarabangsa.
Berbeza dengan ABxFGR yang memberi tumpuan kepada pengunjung musim perayaan, platform tersebut lebih menjurus kepada peluang kerjasama strategik dan penembusan pasaran antarabangsa termasuk sesi pertemuan eksklusif business-to-business (B2B).
Ia memberi peluang kepada peserta bertemu pengedar, pembeli serta rakan strategik sekali gus membuka laluan kepada peluasan eksport dan kerjasama rentas sempadan, terutamanya dalam sektor halal dan gaya hidup global.
Dengan memperkenalkan budaya tempatan, produk halal, pengalaman kulinari unik serta tarikan pelancongan Malaysia kepada khalayak antarabangsa, langkah ini turut menyokong inisiatif Visit Malaysia Year 2026 serta memperkukuh jenama negara di peringkat dunia.
Sejak diperkenalkan empat tahun lalu, ABxFGR telah mencatatkan pelbagai kejayaan dan terus mengekalkan reputasinya sebagai Festival Raya Terbesar di Malaysia.
Sama seperti edisi terdahulu, pengunjung akan menikmati pengalaman membeli-belah raya yang merangkumi pelbagai kategori seperti pakaian, produk kecantikan dan juadah raya di bawah satu bumbung.
Tarikan lain termasuk Mini Absolut FoodFest yang menghimpunkan lebih 30 vendor makanan serta minuman untuk iftar dan sahur, selain pelbagai aktiviti sampingan dengan hadiah wang tunai seperti Wheel of Fortune, Money Chamber dan Happy Hour Sales.
Disebabkan sambutan luar biasa, ruang pameran kini hampir penuh dengan edisi Kuala Lumpur hanya berbaki lima peratus booth, manakala Pulau Pinang tinggal 25 peratus slot.
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan terkini mengenai ABxFGR melalui platform media sosial rasmi Absolut Bazaar dan Festival Gaya Raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


