BERITA SEMASA

“Teruskan jadi contoh murid dan masyarakat” – Abang guru dipukul murid tampil pertahan adiknya

KUALA LUMPUR – “Kepada Cikgu Wan Anwar, teruskan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak murid dan rakyat Malaysia. Jangan putus asa dengan apa yang berlaku. Keluarga sentiasa bersama adik, insya-Allah.”

Itu pesanan penuh semangat daripada abang kepada seorang guru ganti, Cikgu Wan Anwar yang ditumbuk seorang pelajar ketika cuba membantu meleraikan kekecohan di sebuah sekolah.

Menerusi satu hantaran di Facebook, lelaki yang menggunakan nama Rah Fird itu berkata, kes tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa dan keluarganya berharap agar tindakan setimpal dapat diambil terhadap pelajar berkenaan.

“Pelajar itu masih muda. Masih ada ruang untuk menabur jasa kepada orang lain. Semoga dia mendapat didikan yang bersesuaian serta diberikan keinsafan dan menjadi insan berguna suatu hari nanti,” katanya.

Insiden berlaku apabila Cikgu Wan Anwar bertindak membantu seorang guru yang sedang dimarahi oleh pelajar terbabit dipercayai kerana isu ponteng kelas.

Malangnya, tindakan tersebut menyebabkan beliau pula menjadi mangsa serangan fizikal.

Difahamkan, Cikgu Wan Anwar merupakan guru ganti sementara dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan sedang menunggu panggilan untuk ujian kelayakan guru tetap.

Beliau berpengalaman lebih empat tahun sebagai guru ganti dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain itu, beliau juga adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) serta bekas atlet boling negeri Johor yang pernah menyertai kejohanan MSSM dan SUKMA.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata memberi kata semangat kepada beliau.

“Tinggi tahap kesabaran Cikgu Wan tahniah. Kepada murid tu belajar untuk jadi orang lebih beradab,” tulis Udi Kamal Rusdi.

“Semoga ketenangan Cikgu Wan berdepan situasi ini, KPM bagi peluang beliau diserap ke jawatan tetap,” komen Ahmad CoilStudio pula.

Insiden itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan warga pendidik dan masyarakat yang menzahirkan rasa simpati serta sokongan terhadap Cikgu Wan Anwar yang dikenali sebagai guru berdedikasi dan berdisiplin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button