BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Abai kebersihan, 8 gerai diarah tutup – DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan lapan gerai di Pusat Penjaja PA Desa Rejang, Setapak Jaya ditutup serta-merta selepas didapati melanggar peraturan kebersihan dan kesihatan dalam satu operasi penguatkuasaan baru-baru ini.

Menurut DBKL, operasi tersebut dilaksanakan susulan aduan orang awam yang diterima melalui platform AduKL berhubung tahap kebersihan dan pematuhan undang-undang kesihatan di kawasan terbabit.

Notis penutupan gerai ditampal di premis yang terlibat.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa pelanggaran telah berlaku termasuk pengendali yang tidak mempunyai suntikan typhoid.

“Selain itu, aktiviti mencuci juga dilakukan di atas lantai, persekitaran premis yang kotor serta penyimpanan barangan di stor yang tidak kemas dan melibatkan barangan terpakai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 22 gerai telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, lapan unit diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Selain itu, dua kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (WPKL) iaitu UUKPPM 21(1)(m) dan UUKPM 17(1)(b).

DBKL turut mengeluarkan satu notis pembaikan selama 14 hari kepada pengendali gerai bagi membetulkan kemungkiran mengikut syarat perjanjian kedai.

Sehubungan itu, DBKL turut mengingatkan warga kota agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan sama ada sebagai peniaga mahupun pengguna demi menjamin kesejahteraan dan kesihatan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button