Hiburan

AIFFA 2023: Filem Barbarian Invasion dinobat filem terbaik

KUCHING –  Filem Barbarian Invasion arahan Tan Chui Mui diangkat sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak, Festival Filem Antarabangsa (AIFFA) 2023 yang berlangsung di Old Courthouse Kuching, Sarawak, malam tadi.

Kejayaan Barbarian Invasion itu mengetepikan enam filem lain iaitu Before, Now & Then dari Indonesia, Ginhawa (Filipina), Prebet Sapu (Malaysia), Kargo (Filipina), Perjalanan Pertama (Malaysia & Indonesia) dan Duan Nago Bogho (Malaysia).

Lebih manis lagi, filem yang dibintangi oleh Chui Mui, Pete Teo, Bront Palarae, James Lee dan Zhiny Ooi itu juga telah merangkul anugerah bagi kategori Lakon Layar Terbaik.

Untuk rekod, Barbarian Invasion pernah memenangi anugerah Jury Grand Prix Golden Goblet Awards sempena Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) Ke-24 di Shanghai, China, dua tahun lepas.

Tidak ketinggalan, pelakon veteran negara, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, 72, telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Perjalanan Pertama.

Beliau menewaskan empat calon lain iaitu Andrew Ramsay menerusi filem Ginhawa (Filipina), Tommy Alejandrino (The Baseball Player – Filipina), Huy Yaleng (Father’s – Kemboja) dan Amerul Affendi (Prebet Sapu – Malaysia).

Dalam acara yang sama, bintang K-Pop terkenal dari Korea Selatan, Rain yang hadir selaku tetamu jemputan istimewa turut menerima Anugerah Inspirasi Asean.

AIFFA yang kini telah memasuki edisi keenamnya merupakan acara yang diiktiraf oleh Menteri Pelancongan ASEAN pada 2012 sebagai satu acara untuk menaikkan filem dalam kalangan anggota negara ASEAN.

Dalam pada itu, objektif penganjuranya juga adalah untuk mempromosikan Kuching sebagai hab Kebudayaan dan Seni Persembahan.

Antara selebriti terkemuka yang pernah menghadiri AIFFA termasuk Tan Sri Michelle Yeoh, Jackie Chan, Donnie Yen dan Steven Seagal.

Sebanyak 120 filem dari 10 buah negara anggota ASEAN telah menyertai festival filem berkenaan yang mempertandingkan 17 kategori meliputi aspek bidang kreatif dan teknikal penghasilan filem.

Show More

Related Articles

Back to top button