Bisnes & Ekonomi

Dipuji berkulit cantik, Zed Zaidi asas produk kosmetik sendiri

BANGI – Dunia perniagaan produk kecantikan atau kosmetik yang didominasi golongan wanita di negara ini tidak menghalang pelakon, Zed Zaidi untuk tampil meneroka potensi besar dalam segmen itu.

Zed baru-baru ini melancarkan produk terbaharunya, Maderms yang dikeluarkan secara eksklusif oleh ZS Cahaya Sdn. Bhd. dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam majlis di G2G Garden Hall, Maeps, Serdang.

Maderms merupakan produk pencuci muka dalam bentuk kapsul yang diformula untuk melindungi muka daripada pancaran matahari dengan anti penuaan, melembap, merawat jangkitan dan membersihkan kulit muka.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, langkah beliau dalam perniagaan kosmetik tidak hanya mempertaruhkan ‘modal’ sebagai selebriti semata-mata sebaliknya menawarkan produk yang setanding dengan jenama-jenama terkemuka.

“Kami memberi jaminan tahap kajian dan penyelidikan (R&D) produk yang setara dengan produk luar khususnya dari segi keselamatan dan keberkesanan.

“Walaupun masih baharu di pasaran, sambutan yang diterima daripada pengguna amat membanggakan dan ini memberi inspirasi untuk kami pergi lebih jauh selepas ini,” katanya kepada media selepas pelancaran Maderms di bawah jenama Maderm Skincare, malam semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Ditanya mengenai sasaran prestasi tahun ini, Zed yakin dapat mencecah sasaran jualan sebanyak 1 juta unit produk melalui teknik dan strategi pemasaran yang semakin berkesan melalui media sosial.

“Kami akan memanfaatkan sepenuhnya promosi kami melalui saluran media sosial seperti Tik Tok kerana ia cukup efektif dan hanya memerlukan sedikit kepakaran berkomunikasi dengan audien,” katanya yang mengakui berdepan saingan hebat dalam industri diceburinya itu.

Selaku Presiden Seniman, Zed turut mengumumkan sebahagian daripada hasil jualan Maderms akan disumbang kepada persatuan itu untuk dimanfaatkan dalam industri seni.

“Inilah hasrat dan matlamat utama saya dan inilah cara saya untuk menyumbang kepada persatuan.

“Selain itu saya juga mahu menawarkan peluang menjana perniagaan kepada sesiapa sahaja khususnya kepada ahli-ahli Seniman,” katanya.

Ditanya mengenai ‘permulaan’ beliau dalam memperkenalkan produk itu, Zed berkata keberaniannya timbul selepas berulang kali ditanya mengenai keadaan kulit mukanya yang bersih.

“Peminat kerap bertanya mengenai kulit muka saya semasa saya buat Live TikTok, mereka kata muka saya cantik… Ada juga yang suruh saya buat produk kosmetik.

“Selepas lama memikirkannya, saya akhirnya mendapat idea untuk memulakan produk kecantikan sendiri. Tapi ia bukanlah satu laluan yang mudah kerana ia memerlukan formula bahan dan perniagaan,” katanya.

“Selepas setahun mengatur langkah untuk bermula, produk Maderms akhirnya dapat saya perkenalkan kepada umum dan saya terkejut kerana sambutan yang diberikan melebihi apa yang dijangkakan,” katanya.

Majlis turut meraikan penanugerahan insentif penghargaan kepada ejen-ejen Maderms Skincares yang telah mencapai sasaran jualan yang memberangsangkan.

Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan kepada 3 persatuan iaitu Persatuan Seniman Malaysia, Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) oleh Seniman.

Show More

Related Articles

Back to top button