Bisnes & Ekonomi

BNM ada hak tetapkan OPR tanpa campurtangan Kerajaan

CYBERJAYA – Kerajaan tidak perlu campur tangan dalam penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai hak dan kuasa dalam membuat keputusan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hak dan kuasa yang memberi kesan kepada ekonomi negara telah diberi pengkhususan masing-masing seperti yang termaktub dalam peraturan dan undang-undang Malaysia.

“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tapi itu adalah wewenang (hak dan kuasa) Bank Negara Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet, semalam.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung impak dan tindakan oleh Kementerian Kewangan susulan jangkaan kenaikan OPR sebanyak dua kali oleh BNM.

Menurut beliau, BNM diberi mandat untuk mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.

Sehubungan itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata satu perbincangan bersama melibatkan Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli akan dilakukan sebelum merangka Belanjawan 2023.

“Saya undang Gabenor Bank Negara (Malaysia), Menteri Ekonomi untuk berbincang sekali.

“Saya ingat pendekatan ini yang saya pernah lakukan dulu. Saya tidak asing, kerana tindakan mana-mana pihak itu akan juga melibatkan dasar ekonomi keseluruhannaya,” katanya.

Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan pada Sidang Pertama Parlimen ke-15.

Show More

Related Articles

Back to top button