Berita Semasa

Kerjasama Malaysia-Tesla buka peluang pemindahan teknologi, kepakaran EV

KUALA LUMPUR – Kerjasama Malaysia bersama pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka di dunia, Tesla akan memberi peluang kepada negara menerusi pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran.

Menurut pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, ia juga merupakan peluang hebat bagi Malaysia untuk meluaskan pengalaman automotif dan perkongsian antarabangsa dengan pemain utama industri itu.

“Malaysia ada pengalaman dalam membina industri automotif sejak 1982. Sepanjang tempoh itu, kita alami situasi pasang dan surut dalam industri ini dan sekarang kita sedang lakukan yang terbaik bersama Geely.

“Justeru, menerusi kerjasama ini ia membuka peluang untuk Malaysia sebagai negara kecil dengan pengalaman dalam industri automatif untuk terus meneroka peluang baharu ini.

“Untuk masa hadapan, menerusi pemindahan teknologi ini, mungkin kita boleh membina EV mampu milik menerusi penyertaan syarikat Proton dan Perodua. Malah ia bukan terhad kepada kereta sahaja tetapi juga motosikal, basikal dan lain-lain,” katanya dalam temubual bersama Bernama TV hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dr Zokhri Idris berpendapat, kemasukan pelaburan turut mewujudkan pertambahan nilai kepada aspek sosioekonomi negara.

“Kita lihat juga dari aspek peningkatan ‘human resources’, tenaga manusia di negara kita, ini dalam jangka masa panjang akan menyediakan Malaysia sebagai sebuah pasaran yang kompetitif dari segi mempelopori atau memulakan industri yang berasaskan teknologi tinggi, dengan adanya Tesla dan SpaceX ini.

“Tapi dalam masa yang sama mensiapsiagakan penduduk di negara kita untuk juga beradaptasi dengan teknologi tinggi ini,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, kerjasama juga bakal menjenamakan Malaysia sebagai negara yang mempelopori industri berteknologi tinggi terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Pada masa sama, katanya, negara harus bersedia menerima manfaat yang ditawarkan menerusi peruntukan undang-undang, penyediaan polisi, selain penambahbaikan infrastruktur.

Sementara itu, menurut Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, tanpa mengira sebarang jenis dan nilai pelaburan yang Tesla berhasrat membawa masuk ke Malaysia, ia akan menyediakan rangsangan besar kepada industri EV dalam negara.

“Pelaburan ikonik biasanya mempunyai kesan limpahan yang lebih besar melalui peningkatan, pengukuhan keyakinan pelabur tempatan dan asing serta lebih banyak penyertaan dalam pelaburan.

“Ini bakal membuka lebih banyak peluang kepada pembekal, penyedia perkhidmatan serta pengeluar alat ganti dan komponen untuk terlibat secara aktif dengan industri EV,” katanya kepada Bernama.w

Show More

Related Articles

Back to top button