Berita Semasa

Kerajaan ketika itu tiada hitam putih dengan Felda – Pengerusi Felda

KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil memberikan penjelasan berhubung isu hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berjumlah RM8.3 bilion.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu mengakui hutang peneroka kepada Felda dilupus pada 2021 namun agensi itu berhutang melalui sukuk untuk mengambil-alih Felda Global Ventures (FGV).

Selain itu, Felda turut membayar hutang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Maybank yang berjumlah lebih RM9 bilion.

“Macamana Felda nak bayar hutang? Dahulu Tan Sri (Muhyiddin Yassin) semasa jadi Perdana Menteri kata kerajaan akan bayar RM1 bilion setahun selama 10 tahun.

“Sepatutnya sudah mula bayar pada 2022. Tapi ia tidak berlaku. Buah yang ditunggu tidak jatuh-jatuh. Ia hanya janji tetapi tidak laksana.

“Sebab tidak ada hitam putih dengan Felda untuk bantu selesaikan hutang yang banyak itu,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Muhyiddin semalam mendakwa tuduhan dilemparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelupusan hutang peneroka Felda merupakan satu pembohongan.

Beliau menegaskan pelupusan hutang telah dilaksanakan ketika beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Ahmad Shabery berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar baru-baru ini tampil dengan jalan penyelesaian.

“Buat perjanjian dengan Felda untuk selesaikan sukuk. Kerajaan Perpaduan bagi komitmen bayar RM1 bilion setahun kepada Felda untuk selesaikan hutang itu.

“Alhamdulillah… Felda lega dan boleh bantu lagi peneroka,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button