Berita Semasa

PH Selangor yakin kekalkan majoriti 2/3 dalam PRN

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin dapat mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Amirudin berkata, dasar mengutamakan kebajikan rakyat bakal mengulangi kejayaan memenangi lebih 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Malah Amirudin berkata, tidak mustahil untuk PH dan parti-parti yang bekerjasama dengannya mengulangi kejayaan besar yang dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita positif dan yakin mampu meneruskan 2/3 majoriti. Hendak bertanding jangan cerita pasal kalah, kena menang.

“Bertanding dahulu dan lihat pada situasi tetapi kena hormat kuasa rakyat.

“Kita tiada apa hendak dirahsiakan dan hampir setiap isu dijawab secara berdepan atau langsung tanpa menutup di bawah ‘carpet’ atau keluar pintu belakang,” katanya dalam sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, biarpun yakin dapat mengekalkan kemenangan di Selangor, PH tidak memandang rendah keupayaan Perikatan Nasional (PN).

Namun tegas beliau, kejayaan mengekalkan 16 kerusi Parlimen di Selangor ketika berdepan PN yang merupakan sebahagian kerajaan pusat pada PRU15 membuktikan PH masih kukuh di negeri itu.

Amirudin yang juga pengerusi Harapan Selangor berkata, strategi betul dengan rakan gabungan lain bakal menjadi faktor kejayaan lebih besar dalam PRN.

“Sepanjang lima tahun, tiada isu besar dalam PH Selangor dan kalau strategi betul dengan rakan gabungan kita boleh cipta kejayaan lebih besar,” katanya.

Pagi tadi, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 23 Jun bagi membolehkan PRN diadakan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DNS ke-14 pada majlis istiadat di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah.

Show More

Related Articles

Back to top button