Berita SemasaPolitik

Kefahaman hadis “Jamaah Islam” oleh Pas perlu diperbetulkan – Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa supaya salah faham terhadap konsep “Jamaah Islam” dalam kalangan ahli Pas perlu diperbetulkan.

Mohd Khairuddin yang kini merupakan ahli Majlis Ulama UMNO, berkata tafsiran tersebut harus diperbetulkan kerana ia adalah penyelewengan terhadap maksud Hadis Sahih.

“Orang yang meninggalkan Pas dihukum keluar daripada “Jamaah Islam” sedang hakikat sebenar ialah Pas bukannya “Jamaah Islam”.

“Sebagaimana disebut dalam Hadis Sahih Bukhari Muslim riwayat Huzaifah bin Yaman tetapi hanya satu jemaah dan kumpulan kecil dari jemaah Islam yang besar diketuai oleh seorang ketua negara umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Jelas bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, dalam konteks Malaysia, mereka yang keluar dari Pas adalah bermaksud telah menyertai jemaah yang lebih besar diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Keluar daripada Pas bererti keluar dari satu “jamaah kecil” umat Islam untuk bergabung dengan Jamaah Muslimin yang besar diketuai oleh YDP Agong dalam konteks Malaysia.

“Itulah tafsiran yang benar bagi maksud hadis ‘kamu perlu berpegang dengan jamaah Muslim dan imam mereka’. Namun, kerana salah faham tafsiran yang dibuat oleh pimpinan Pas sejak berzaman melahirkan ketaksuban pada parti dan jamaah kecil Pas,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin turut mengingatkan bahawa dakwaan hanya parti Pas sahaja yang memperjuangkan Islam adalah tidak berasas.

Katanya, perjuangan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam juga adalah perjuangan yang telah termaktub dalam perlembagaan UMNO.

“Jangan hanya mendakwa Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam lalu menafikan perjuangan Islam parti lain.

“Apabila masuk Pas semua dosa disucikan termasuk “dosa Memali” dan diangkat setinggi-tingginya.

“Mereka yang meninggalkan Pas pula dianggap seolah keluar daripada perjuangan Islam lalu dimaki dan dikutuk.

“Sejak bila pula perjuangan Islam hanya milik Pas? Dan sejak bila pula Islam menghalalkan makian dan kutukan pada orang yang berbeza pandangan dan parti.

“Adakah itu ciri-ciri pejuang Islam yang makian menjadi manisan lidah meski di waktu lain lidah basah dengan zikir?,” soalnya.

Show More

Related Articles

Back to top button