Berita Semasa

Pearly, Thinaah teruskan langkah sensasi, tewaskan bekas beregu nombor 1 dunia

KUALA LUMPUR – Persembahan memukau dan tidak mengenal erti menyerah kalah telah menyaksikan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah M menewaskan pasangan dari Jepun, Yuki Fukushima dan Sayaka dengan keputusan 13-21 21-19 21-19 dalam kejohanan Malaysia Master sebentar tadi.

Beregu nombor satu negara itu yang tewas pada set pertama bangkit semula dalam set kedua meskipun ketinggalan jauh ketika menentang pilihan nombor empat kejohanan itu.

Bagaimanapun, dengan sokongan dan sorakan padu daripada penonton serta barisan jurulatih di tepi gelanggang telah berjaya memberikan semangat kepada pilihan nombor enam kejohanan itu memenangi set kedua dengan keputusan 21-19.

Memasuki set penentuan, kedua-dua pemain itu sekali lagi ketinggalan jauh sebelum mengutip mata demi mata dengan menukar strategi kepada permainan rally.

Gaya permainan rally Pearly dan Thinaah beberapa kali telah berjaya memerangkap bekas pasangan nombor satu dunia itu.

Namun begitu, permainan rally yang digunakan kedua-dua pasangan beregu itu mendapat campur tangan daripada pengadil yang menghentikan perlawanan dan meminta ia dimainkan semula pada satu ketika.

Meskipun mendapat bantahan daripada jurulatih negara, Rexy Mainaky ia tidak menjejaskan emosi pasangan beregu negara itu yang dengan tenang berjaya mengekalkan tempo permainan dan menang dalam tempoh masa 111 minit.

Dengan kemenangan itu pasangan negara tersebut berjaya menempah tiket ke perlawanan separuh akhir esok.

 

Show More

Related Articles

Back to top button