Wanita warga asing ditemui dirantai, terkurung dalam bilik air
KAJANG – Seorang wanita warga asing dipercayai dirantai oleh majikannya di dalam sebuah bilik air di sebuah rumah pangsa di Taman Tenaga di sini, berjaya diselamatkan.
Seorang penduduk Taman Tenaga yang enggan dikenali, berkata dia pada mulanya ke kedai runcit di kawasan perumahan berkenaan, kira-kira jam 9 malam Ahad lalu.
“Pekerja kedai runcit kemudian memaklumkan terdengar jeritan seorang wanita dari arah kawasan flat berhampiran sebelum saya bergegas ke arah itu.
“Kami kemudian ke lokasi bunyi jeritan yang datang dari arah sebuah rumah di tingkat dua flat berkenaan.
“Memandangkan rumah itu berkunci, kami menghubungi pihak polis untuk membuat pemeriksaan. Polis datang dan kemudian memecahkan pintu rumah sebelum seorang wanita ditemukan dalam keadaan dirantai dan lesu dalam bilik air,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi, mengesahkan kes berkenaan.
“Dalam kes ini, kami berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah yang dirantai oleh sepasang suami isteri warga tempatan di rumah terbabit.
“Mangsa dirantai di dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah.