Datuk Lat terima Anugerah Seniman Negara, Siti Nurhaliza terima gelaran Biduan Negara
KUALA LUMPUR – Kartunis terkenal, Datuk Lat, atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid menerima Anugerah Seniman Negara kesembilan pada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di Hotel Majestic, malam tadi.
Penganugerahan tertinggi itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Turut berangkat, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, yang diiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Lat menerima hadiah wang tunai RM60,000, trofi, watikah, sepersalinan pakaian kebangsaan serta status sebagai Seniman Tamu di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Beliau turut diberi insentif untuk meneruskan karya seni serta rawatan kelas pertama di hospital .
Sementara itu penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pula dianugerahkan Anugerah Khas Biduan Negara 2024. Beliau menerima wang tunai RM30,000, sepersalinan pakaian kebangsaan, trofi, watikah dan status Seniman Tamu.
Lima penggiat seni turut menerima Anugerah Karyawan Seni bagi kategori masing-masing Datuk Mokhzani Ismail (Muzik), Zakaria Ariffin (Lakon/Pementasan), Wong Kit Yaw (Tari), Bangie Anak Embol (Kraf Tangan) dan Wong Hoy Cheong (Seni Visual).
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi, watikah, rawatan kelas pertama di hospital kerajaan dan status sebagai Seniman Tamu.
Penghargaan kepada Pendukung Seni
Anugerah Pendukung Seni turut diberikan kepada tiga organisasi atas sumbangan mereka dalam pembangunan seni dan budaya negara.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kategori Media, Yayasan Hasanah Kategori Korporat dan The Temple of Fine Arts – Kategori Badan Bukan Kerajaan.
Setiap penerima menerima wang tunai RM10,000, trofi, dan watikah
Khairul Firdaus berkata, penganjuran ASN 2024 selepas 15 tahun adalah bukti komitmen kerajaan dalam mengangkat martabat seni negara.
“Anugerah itu adalah pengiktirafan kepada mereka yang menunjukkan ketokohan, kewibawaan, dan sumbangan cemerlang dalam memperkayakan seni dan budaya negara.
“Penggiat seni adalah khazanah negara yang mewakili warisan budaya Malaysia. Adalah wajar mereka diberi penghormatan atas usaha dan komitmen yang tidak pernah luntur dalam menghiasi industri seni,” dipetik dari AstroAwani.
ASN 2024 dilihat sebagai penghormatan tertinggi kepada penggiat seni yang bukan sahaja membawa nama negara ke peringkat dunia tetapi juga memperkukuh khazanah seni tanah air.