Berita SemasaDalam Negeri

Akta Tahanan Rumah mampu kurangkan kesesakan penjara

PUTRAJAYA – Jabatan Penjara menyokong penuh cadangan kerajaan mewujudkan Akta Tahanan Rumah sebagai hukuman alternatif bagi pesalah kategori tertentu dan tidak serius dalam usaha mengurangkan kesesakan di penjara ketika ini.

Jabatan Penjara dalam kenyataan berkata, selain dapat mengurangkan kos perbelanjaan menguruskan operasi penjara, pelaksanaan akta itu juga dapat memberi peluang kepada banduan untuk membuktikan mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Bagi pelaksanaannya pula, pengawalan pergerakan banduan untuk kekal dalam rumah dapat dilaksanakan sama seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 yang terbukti menurunkan kadar jenayah ketika itu.

“Jabatan Penjara Malaysia telah memperkasakan serta memperluaskan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan kadar kesesakan di institusi penjara.

“Jabatan ini menyokong penuh cadangan hukuman alternatif dengan mewujudkan Akta Tahanan Rumah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2025,” menurut kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Saifuddin Nasution baru-baru ini berkata, Akta Tahanan Rumah yang akan digubal tidak lama mampu mengurangkan penempatan kira-kira 20,000 banduan di penjara seluruh negara.

Antara golongan yang dikenal pasti layak untuk mendapat keistimewaan itu adalah pesalah pertama kali, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut data dikongsikan jabatan itu, fasiliti penjara mengalami kadar pertambahan banduan melebihi kapasiti sebenar iaitu sebanyak 74,146 orang, berbanding jumlah kapasiti keseluruhan terkini seramai 87,419 orang iaitu melebihi 11.24 peratus.

Ia merangkumi jumlah banduan dalam penjara seramai 82,482 orang (94.35 peratus) dan di dalam komuniti seramai 4,937 orang (5.65 peratus).

Berdasarkan kadar pemenjaraan pada masa ini, jabatan itu merekodkan nisbah 245:100,000 penduduk, berbanding kadar purata pemenjaraan dunia 145:100,000 penduduk.

Kadar banduan yang tinggi ini, jelas jabatan itu adalah tidak baik untuk imej negara daripada segi keselamatan dan kesejahteraan awam dari kaca mata dunia.

“Jumlah keseluruhan institusi penjara adalah sebanyak 43 buah di seluruh negara dengan 19 buah mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutama penjara di bandar-bandar besar di Malaysia.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button