Berita Semasa

Kuala Lumpur tuan rumah dua persidangan belia dunia 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia diberi penghormatan untuk menganjurkan dua persidangan belia antarabangsa pada tahun depan yang dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 peserta dari lebih 60 negara.

Dua persidangan tersebut adalah Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) ke-16 dan Asia World Model United Nations (AWMUN) X.

Presiden International Global Network (IGN), Muhammad Fahrizal berkata, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi utama acara tersebut berikutan sokongan kuat daripada pelbagai institusi pendidikan dan kerajaan serta kedudukan sebagai pusat pertukaran budaya dan aksesibiliti belia Asia.

“Persidangan AYIMUN ke-16 akan berlangsung dari 17 hingga 20 Januari 2025, manakala AWMUN X dijadualkan pada 14 hingga 17 Februari 2025.

“Selain Kuala Lumpur, persidangan serupa juga akan diadakan di beberapa bandar utama lain seperti Seoul, Bali dan Bangkok sepanjang tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahrizal berkata, IGN menjangkakan lebih 5,000 pelajar dari sekurang-kurangnya 100 negara akan menyertai rangkaian persidangan itu yang menghubungkan generasi pemimpin muda rentas sempadan dan budaya.

“AYIMUN 16th kali ini mengangkat tema ‘Menghadapi Dilema Politik Global: Peranan Belia untuk Mengukuhkan Multilateralisme’ yang mengajak peserta meneroka kerumitan politik dunia dan menggalakkan peranan belia dalam kerjasama pelbagai hala.

“Tema itu menuntut delegasi memahami cabaran yang wujud dalam landskap antarabangsa masa kini daripada konflik diplomatik hingga persaingan ekonomi serta peranan belia dalam mengekalkan keamanan dan menggalakkan kerjasama global,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, persidangan itu menyediakan platform berharga untuk peserta mengasah kemahiran diplomasi, perundingan dan kepimpinan melalui simulasi, perbahasan serta perbincangan interaktif.

“Persidangan itu bukan sekadar membuka minda belia kepada isu-isu global, tetapi juga membantu mereka membangunkan kemahiran kritikal seperti kerjasama, penyelesaian masalah dan komunikasi yang amat penting untuk masa depan mereka sebagai pemimpin global,” tambahnya.

Persidangan anjuran IGN itu diharapkan dapat membentuk generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan dalam isu antarabangsa tetapi juga berkebolehan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button