Kemenangan Trump, Malaysia sambut kerjasama baru
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Donald J. Trump selepas memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Beliau berkata, kemenangan dalam situasi politik yang luar biasa itu bakal membuka babak yang membawa peluang baharu dalam hubungan bersama.
“Kami bersedia untuk melihat lembaran baharu dengan penuh optimistik, kerjasama dan perkongsian matlamat.
“AS kekal menjadi sumber pelaburan luar dan memainkan peranan penting di rantau Asia Pasifik,” katanya dalam hantaran di Facebook petang ini.
Anwar berkata, Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2025, berharap AS akan terus memainkan peranan dan keterlibatan di Asia Tenggara.
Selain itu, beliau juga berharap kerajaan baharu Trump akan menggunakan pengaruhnya dalam menamatkan kekejaman di Palestin dan Ukraine.
“Kami sedia bekerjasama secara rapat dengan Presiden AS untuk meraih manfaat untuk kedua-dua negara,” katanya.
Trump, 78, yang merupakan calon Republikan menang dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 mengatasi calon Demokrat, Kamala Harris.
Beliau pernah menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-45 yang berkhidmat dari tahun 2017 hingga tahun 2021.
Sebelum beliau menjadi presiden, beliau ialah seorang ahli perniagaan, seorang penulis, seorang bekas pelakon dan personaliti televisyen.