Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 sasar peningkatan gaji belia lebih RM3,000 sebulan
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 yang dilancarkan hari ini dijangka memperkukuhkan ekosistem pembangunan belia Malaysia menjelang 2030.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia berkata, antara sasaran yang ditetapkan menjelang 2030 termasuk peningkatan purata gaji belia kepada RM3,152 serta pengurangan kadar pengangguran belia kepada 6.5 peratus.
“Pelan ini juga menyasarkan penurunan peratusan belia yang tidak bekerja, tidak berpendidikan, dan tidak mengikuti latihan (NEET) kepada 8.9 peratus.
“Pelan ini akan menjadi garis panduan bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kementerian lain, jabatan dan agensi, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi belia,” katanya memetic laporan Bernama hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas melancarkan pelan berkenaan dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli.
Secara keseluruhannya, Ahmad Zahid berkata, pelan berkenaan bertujuan memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup belia melalui perluasan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pendigitalan, kelestarian, serta literasi kewangan dan pengurusan kredit.
“Pelan ini berasaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan bertujuan menyokong visi RMK13 bagi Malaysia yang lebih maju dan mampan,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelan tersebut merangkumi tiga matlamat utama, 10 strategi, dan 24 inisiatif yang melibatkan 13 kementerian sebagai peneraju, dengan kerjasama 76 rakan kolaborasi.
Tiga matlamat tersebut adalah menjana ekonomi belia, memperkukuh kesejahteraan dan inklusiviti belia, serta mempergiat pembangunan mampan.