Uncategorized

Polis tahan penganjur majlis hari jadi punca kebakaran dewan MPTI

TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kebakaran sebuah dewan milik Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) akibat penggunaan mercun semasa sambutan majlis hari jadi di Jalan Raja di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek yang dipercayai menyediakan sejumlah bunga api kepada tetamu yang datang ke majlis itu ditahan di rumahnya di daerah ini pada pukul 3 petang semalam.

Katanya, kejadian pada pukul 11.38 malam itu menyebabkan bahagian bumbung Dewan Terbuka Arena Square Teluk Intan yang disewa tersebut terbakar sebelum dapat dipadamkan oleh bomba.

“Hasil siasatan awal bersama pasukan forensik bomba mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan.

“Penganjur telah menyewa dewan daripada MPTI dan dipercayai menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk dinikmati oleh kira-kira 500 tetamu yang hadir.

“Namun, pemeriksaan mendapati bahawa penganjur tidak memiliki lesen sah untuk penggunaan bahan letupan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Ahmad Adnan, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat menggunakan api dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki dan menggunakan mercun serta bunga api tanpa lesen.

Suspek, yang bekerja sebagai pemandu lori, dijadualkan dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis ingin menegaskan kepada orang ramai bahawa penggunaan mercun dan bunga api tanpa lesen adalah satu kesalahan undang-undang yang bukan sahaja berbahaya tetapi juga boleh mendatangkan risiko keselamatan,” tambahnya

Show More

Related Articles

Back to top button