Ahli Lembaga Pengarah FashionValet nafi dakwaan berlaku penipuan, penggelapan wang
KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Aireen Omar menafikan dakwaan berhubung penipuan atau penggelapan wang yang dikaitkan dengan
jenama tempatan itu.
Aireen turut mempertahankan pengasas bersama jenama itu Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang memohon maaf dan melepaskan jawatan masing-masing dalam perniagaan itu.
“Tiada isu skandal atau penipuan atau penggelapan wang. Tiada sama sekali.
“Saya berada dalam Lembaga Pengarah dan saya melihat perinciannya (kewangan). Dan yang pasti, tiada hal seperti itu,” katanya.
Dia berkata demikian dalam teaser temu bual untuk ‘Apa Cerita Podcast’ dengan pempengaruh TikTok Asyraf Khalid yang disiarkan di Instagram Jumaat lalu.
Aireen juga membidas pengkritik di media sosial yang menyasarkan FashionValet dengan menganggap ia sebagai satu perkara biasa dalam perniagaan selepas berlaku kerugian dana awam yang dilaburkan ke dalam syarikat itu.
“Ia perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana perniagaan. Pasti ada naik dan turunnya.
“Bagaimana bangkit dari bawah? Itu perkara paling penting! Anda tidak boleh selamanya berada di atas.
“Malah AirAsia, kami tidak sentiasa berada di atas, hal itu melanda AirAsia dengan teruk ketika pandemik Covid-19,” katanya yang juga Presiden Capital A untuk pelaburan dan usaha niaga.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis Parlimen pada 28 Oktober lalu, menyatakan nilai saham Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023 berbanding jumlah yang dibelanjakan pada 2018.
Ia juga menyatakan Khazanah mengeluarkan RM27 juta dan PNB RM20 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam jenama fesyen itu dalam rancangan untuk meningkatkan perniagaan bumiputera dalam sektor e-dagang.
Bagaimanapun, MoF berkata FashionValet kemudiannya dilanda masalah kewangan ketika pandemik Covid-19, walaupun tempoh sama meningkatkan jualan banyak perniagaan e-dagang tempatan.
Mengulas lanjut, Aireen menyifatkan masalah itu sebagai ‘lumrah biasa dalam perniagaan’.
“Ia adalah sesuatu yang mereka pelajari di mana mereka perlu lebih cekap, di mana mereka perlu lebih berkesan dan sebagainya. Dan saya fikir mereka mengendalikannya dengan baik.
“Saya fikir mereka berada dalam keadaan yang baik pada masa ini,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan FashionValet baru-baru ini, Aireen berkata, ia agak tidak adil selain meminta netizen berhati-hati dengan apa yang mereka katakan.
“Terdapat banyak penilaian di luar sana. Mungkin mereka juga harus melihat diri mereka sendiri dan melihat, mengapa kamu mencipta fitnah?” katanya lagi.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung kerugian dialami Khazanah dan PNB daripada kedua-dua pelaburan mereka dalam FashionValet.
Azam dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan perkara itu kerana ia membabitkan dana awam.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah mengarahkan audit dalaman berhubung perkara itu.