Berita Semasa

Anggur beracun Shine Muscat belum dijual di Johor

KLUANG – Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan anggur Shine Muscat, yang dikatakan beracun di negeri ini diminta tampil memberikan maklumat.

Menurut laporan BH Online, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, setakat ini pihaknya belum menerima aduan rasmi berkaitan kes itu.

Katanya, pihaknya sentiasa mengutamakan kepentingan pengguna dan menjamin sebarang aduan akan ditangani sebaik mungkin.

“Kita belum terima sebarang aduan rasmi berkaitan penjualan anggur mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum yang dibenarkan itu dan kita minta jika ada pihak yang tahu punca serta sebagainya, kita akan siasat.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan kementerian lain yang berkepentingan seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mereka ada kemudahan khusus termasuk Jabatan Kimia untuk menjalankan kajian,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024 Peringkat Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN) yang memberi amaran berhubung pencemaran anggur Shine Muscat, selepas mendapati kebanyakan sampel yang dikumpulnya mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum yang dibenarkan.

Thai-PAN dan Majlis Pengguna Thailand (TCC) menggesa Kementerian Kesihatan Awam mengambil tindakan segera, termasuk mengarahkan pengimport dan pengedar untuk melabel negara asal anggur Shine Muscat yang diimport.

Lilis Saslinda berkata, sekiranya memang terdapat bukti yang sahih penjualan buah-buahan beracun seperti dinyatakan, pihaknya akan menyiasat kes itu mengikut akta berkaitan termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Show More

Related Articles

Back to top button