Bisnes & Ekonomi

Seramai 3,034 peserta meriahkan Seminar Percukaian Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2024 yang dianjurkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapat sambutan yang meriah apabila seramai 3,034 peserta hadir ke seminar itu secara fizikal di Berjaya Times Square di sini dan juga secara maya.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, peserta yang hadir terdiri daripada pengamal percukaian, ahli badan profesional dan orang ramai.

“Penganjuran SPK yang telah memasuki siri ke-42 ini merupakan platform utama LHDN memperincikan setiap pindaan dan pengenalan polisi percukaian baharu yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

“Di samping itu, seminar ini turut membuka ruang kepada komunikasi dua hala antara LHDN dan para peserta menerusi maklum balas serta cadangan berkaitan isu-isu percukaian dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan LHDN sebagai agensi pemudah cara dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli.

Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2024.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan merangkap Anggota Lembaga LHDN, John Patrick Antonysamy; Presiden Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM), Soh Lian Seng dan Timbalan
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (M.A.T.A), Dr. Mohd Fairuz A. Razak.

Sementara itu, Hisham dalam ucapannya berkata, penganjuran SPK tahun ini telah diberi penambahbaikan dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak dengan pembentangan tiga topik percukaian berbanding dua topik sahaja pada tahun-tahun sebelum ini.

“Bahasa Melayu terus digunakan sebagai bahasa pengantar bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan sejajar dengan seruan Perdana Menteri baru-baru ini di Majlis Perasmian Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan sebagai lingua franca bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sejak tahun 2020 hingga 2023, penganjuran SPK telah diadakan sepenuhnya secara dalam talian.

Sebahagian daripada peserta secara bersemuka yang hadir memeriahkan SPK 2024.

Justeru, pada tahun ini LHDN mengambil pendekatan SPK 2024 dianjurkan secara bersemuka dan maya pada siri pertama manakala siri kedua pada 29 Oktober ini pula akan dilaksanakan secara maya sepenuhnya.

Sehubungan itu, orang ramai masih berpeluang menyertai siri kedua SPK 2024 dan pendaftaran masih dibuka sehingga 25 Oktober 2024 menerusi portal SPK di https://seminar.hasil.gov.my.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan seminar itu boleh dirujuk pada portal tersebut atau dikemukakan kepada pihak Urus Setia SPK 2024 di spkhasil@hasil.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button