Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua termasuk bekas pegawai kanan jabatan direman SPRM

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek dari jabatan tersebut.

Perintah reman selama enam hari sehingga 28 Oktober 2024 dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlin Hamdan terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahanpada pukul 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2021 hingga 2024.

“Salah seorang suspek iaitu bekas pegawai kanan disyaki telah menerima kira-kira RM50,000 tunai secara berperingkat daripada suspek kedua iaitu pengarah sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan tiga projek untuk syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button