Berita SemasaLuar Negara

Unifil berdepan cabaran keperluan asas di Lubnan

KUALA LUMPUR – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) yang bertugas di Meiss ej Jebel, kini berdepan masalah kekurangan bekalan kritikal, termasuk air, susulan cabaran logistik semakin meruncing akibat peningkatan aktiviti ketenteraan di sepanjang Blue Line.

Dalam hantaran di platform X dipetik Bernama hari ini, Unifil memaklumkan situasi di kawasan terbabit mencapai tahap krisis kerana bekalan tidak dapat disalurkan sejak 29 Sept lalu akibat sekatan.

Semalam (Sabtu), pasukan pengaman di Meiss ej Jebel kehabisan bekalan air selepas beberapa minggu tidak menerima bekalan semula.

Akses ke pos-pos berhampiran Blue Line amat mencabar, menurut kenyataan itu.

Kebanyakan pos Unifil mempunyai bekalan makanan dan air yang mencukupi untuk lebih 10 hari, namun pos di Meiss ej Jebel tidak menerima sebarang bekalan sejak akhir September disebabkan jalan yang terhalang.an jalan dan pertempuran berterusan.

Selepas rundingan yang teliti dan memperoleh peluang sementara, Unifil akhirnya berjaya menyampaikan bekalan penting seperti makanan, air dan ubat-ubatan kepada pos itu, sekali gus membolehkan pasukan pengaman kembali beroperasi seperti biasa.

Selepas melalui halangan seperti membersihkan jalan akibat pertempuran aktif serta amaran dari Tentera Pertahanan Israel (IDF) mengenai aktiviti ketenteraan, pos terbabit akhirnya berjaya dibekalkan dengan makanan, air dan keperluan penting, membolehkan pasukan pengaman meneruskan tugas mereka, menurut Unifil.

Unifil, yang ditubuhkan pada 1978 adalah antara misi pengaman PBB paling lama beroperasi dengan lebih 10,000 anggota tentera ditempatkan di Lubnan.

Cabaran ini muncul di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu, sebahagiannya dicetuskan oleh konflik yang sedang berlaku di Gaza yang turut memberi kesan kepada seluruh wilayah Timur Tengah.

Pada Jumaat, seorang jurucakap Unifil mengesahkan pasukan mereka di selatan Lubnan diserang beberapa kali, dengan lima insiden dianggap sebagai serangan yang disengajakan.

Malaysia turut menyertai pasukan pengaman ini melalui Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah, menurut kenyataan terkini Kementerian Luar Negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button