Berita SemasaJenayah & Mahkamah

47 sindiket bawa masuk pekerja asing secara haram tumpas – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 47 kes sindiket membawa masuk pekerja asing secara secara haram ke negara ini tumpas sejak Oktober tahun ini, maklum Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, tangkapan tersebut dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui kerjasama agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau memaklumkan, penangkapan itu melibatkan 1,285 ahli sindiket dan pendatang tanpa izin.

Tegas Saifuddin, JIM turut memperketatkan kawalan pemeriksaan di kaunter pintu masuk, dengan memastikan hanya yang layak sahaja dapat masuk ke negara ini.

“Bagi yang tidak layak, kita mengenakan notis Not To Land (NTL) atau notis penolakan masuk dan sehingga September, 25,214 warga asing dikenakan notis NTL,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketegasan kerajaan dalam menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi ‘counter setting’ di pintu masuk negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai langkah memerangi sindiket terbabit, pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter pintu masuk negara akan dipantau melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, pegawai yang bertugas juga tidak dibenarkan untuk membawa alat telekomunikasi.

“Imigresen juga sudah pun mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum daripada pengembara ini pergi ke kaunter imigresen.

“Jika pasukan ini mengesan mereka ini berlama-lama, 5, 6, 7, 8 jam masih tidak pergi ke kaunter bermaksud sedang tunggu isyarat daripada sindiket,” katanya sambil menambah
penyelia Imigresen juga akan membuat lawatan mengejut ke kaunter-kaunter petugas.

Tambah Saifuddin, JIM dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perolehan bagi sistem saringan awal penumpang atau advance passenger screening system serta dalam fasa akhir untuk menaik taraf CCTV yang dilengkapkan audio dan visual di setiap kaunter pemeriksaaan.

“Sebanyak 25,214 notis penolakan masuk (NTL) kepada warga asing pelbagai negara bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“JIM turut telah mengambil tindakan tatatertib terhdap hampir 300 pegawai dan anggota,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai langkah tegas kerajaan memerangi sindiket terbabit.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasa bersekongkol dalam kegiatan ‘counter setting’ di pintu negara ditahan.

Show More

Related Articles

Back to top button