Berita Semasa

Tiada kelulusan cari gali minyak di Taman Marin Tun Mustapha

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menegaskan tiada kelulusan dikeluarkan bagi sebarang aktiviti cari gali minyak dan gas di kawasan Taman Marin Tun Mustapha, di utara Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, sebarang aktiviti dalam kawasan perlindungan yang diwartakan kerajaan negeri memerlukan kelulusan rasmi sebelum dimulakan.

“Sehingga kini pihak berkuasa Taman Marin Tun Mustapha tidak menerima sebarang permohonan atau mengeluarkan kelulusan untuk aktiviti cari gali minyak dan gas di kawasan taman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) bersama Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah bertanggungjawab memastikan ekosistem marin di kawasan perlindungan ini dipelihara sepenuhnya, selaras dengan Enakmen Taman-Taman 1984 dan undang-undang negeri.

Untuk rekod, Taman Marin Tun Mustapha, yang meliputi keluasan 898,762.76 hektar dan merangkumi tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas telah diwartakan sebagai taman marin pada 2016 di bawah Enakmen Taman-Taman 1984.

Menurut Christina, KePKAS dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) telah mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyatakan bahawa tiada laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) diterima berkaitan aktiviti cari gali minyak di taman berkenaan.

Sebelum itu syarikat milik kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd, juga telah menafikan sebarang pembabitan dalam penerokaan minyak dan gas di kawasan taman laut yang dilindungi di Sabah.

Syarikat itu menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai pegangan dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di kawasan cari gali yang dimaksudkan, iaitu Blok SB-403 di utara Sabah.

Badan pemerhati alam sekitar, RimbaWatch, sebelum ini menggesa kerajaan negeri agar tidak meluluskan sebarang aktiviti penerokaan minyak dan gas di Blok SB-403 yang dikatakan berada dalam kawasan Taman Marin Tun Mustapha.

Menurut RimbaWatch, taman itu disenaraikan sebagai kawasan perlindungan marin Kategori VI oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang hanya membenarkan aktiviti berimpak rendah.

Mereka turut memberi amaran bahawa aktiviti minyak dan gas berisiko merosakkan persekitaran marin taman berkenaan, termasuk 45,000 hektar terumbu karang, 17,000 hektar hutan bakau, serta lebih 180 spesies yang terdedah dan terancam.

Show More

Related Articles

Back to top button