Aset tetap ekonomi terkumpul negara pada 2023 meningkat 3.0 peratus kepada RM5.6 trilion
PUTRAJAYA – Stok Modal Kasar (SMK), yang mewakili modal terkumpul aset tetap dalam negara, mencatatkan nilal RM5.6 trilion dengan pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus pada tahun 2023.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Stok Modal Bersih (SMB), yang menunjukkan aset ekonomi Malaysia, merekodkan RM3.5 trilion seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Katanya, SMB terus berkembang sebanyak 2.9 peratus pada tahun 2023 berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) yang mencatatkan 5.5 peratus pada tahun ini.
“Perkembangan SMB ini dipengaruhi oleh pertumbuhan yang lebih baik di semua sektor kecuali sektor pertanian, yang bertumbuh pada kadar lebih perlahan iaitu 0.4 peratus berbanding 0.6 peratus pada tahun 2022.
“SMB mengikut jenis aktiviti ekonomi sebahagian besarya adalah daripada sektor perkhidmatan yang bertumbuh pada 3.5 peratus dan kekal sebagai penyumbang terbesar (69.0 peratus) berbanding aktiviti ekonomi lain, mencapai RM2.4 trilion pada tahun 2023.
“Aktiviti kewangan, insurans, hartanah, dan pemiagaan merupakan penyumbang terbesar dengan 33.1 peratus, manakala aktiviti pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat, komunikasi dan utiliti, masing-masing mencatatkan 19.3 peratus dan 10.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan meningkat sebanyak 3.2 peratus dan menyumbang 11.8 peratus kepada jumlah SMB dengan nilai RM408.0 bilion.
“Sumbangan ini didominasi oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 36.3 peratus yang meningkat pada kadar 3.4 peratus berbanding 2.9 peratus pada tahun sebelumnya.
“Produk elektrik, elektronik, dan optik menyumbang 32.9 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 2.8 peratus (2022: 2.2 peratus), diikuti oleh makanan, minuman, dan tembakau yang menyumbang 11.2 peratus, berkembang 7.0 peratus (2022: 6.1 peratus),” ujarnya.
Tambah Mohd Uzir, SMB untuk sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat marginal sebanyak 0.3 peratus daripada negatif 0.01 peratus pada tahun sebelumnya.
“Sektor pembinaan berkembang pada kadar yang sama laitu 3.4 peratus bagi kedua-dua tahun, manakala sektor Pertanian berkembang dengan lebih perlahan disebabkan oleh pengurangan pelaburan dalam penanaman modal sejak tahun 2015,” maklumnya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir menambah, semua jenis aset untuk SMB meningkat tahun ini berbanding 2022.
“Struktur terus mendominasi SMB dengan sumbangan sebanyak 81.1 peratus, berkembang sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2023 (2022: 2.7 peratus).
“Aset jentera dan peralatan menyumbang 10.9 peratus, meningkat 2.8 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, bagi aset lain menyumbang 8.0 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus pada tahun 2023 (2022: 0.8 peratus).
Katanya, komposisi aset Malaysia adalah serupa dengan negara-negara lain seperti Australia, Korea Selatan, dan Singapura.
“Dari segi intensiti modal, sektor perlombongan dan pengkuarian adalah yang paling intensif modal berbanding dengan sektor-sektor lain, sementara sektor Pertanian kekal lebih rendah daripada intensiti modal nasional.
“Nisbah intensiti modal mengukur jumlah modal yang diperlukan berbanding dengan bilangan pekerja.
“Secara umum, intensiti modal yang tinggi menunjukkan bahawa sesebuah industri memerlukan jumlah aset yang lebih besar bagi setiap pekerja,” ujarnya lagi.