Berita Semasa

‘GISB akan jelaskan dalam sesi libat urus’ – Mohd Na’im

BANGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan wakil syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) bagi menjelaskan dakwaan bahawa mereka masih mengamalkan ajaran yang difatwakan sesat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika diminta memperincikan sesi libat urus yang akan diadakan itu.

“Yang itu (dakwaan terpalit GISB) saya enggan untuk komen (lanjut).

“Sebab itu tunggu ada libat urus,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini hari ini.

Difahamkan, sesi itu diadakan ekoran pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

Sementara itu, berkenaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH), seramai 82 pelajar akan menerima skim berkenaan tahun ini, yang terdiri daripada seorang pelajar di peringkat Sarjana dan 60 orang lagi pelajar di peringkat Sarjana Muda Universiti Awam (UA) dalam negara.

Menurut Mohd Na’im, tajaan sama turut diberikan kepada 19 pelajar peringkat Sarajana Muda UA luar negara serta dua penerima Anugerah Perdana Menteri Darul Quran sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran 2023.

“Suka saya umumkan bahawa untuk tahun ini, JPM (Hal Ehwal Agama) bersetuju meneruskan program SPH dengan peruntukan sebanyak RM1,547,390.

“Alhamdulillah, mengikut rekod, sejak tahun pertama pelaksanaan SPH iaitu pada 2012, keseluruhan penerima SPH adalah seramai 1,406 pelajar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button