Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Juru ukur UNISZA terima suapan didenda RM12,500

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menerima wang suapan bernilai RM14,500 dan sebuah motosikal Y15ZR, seorang juru ukur dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,500.

Tertuduh, Malike Mohamed, 52, merupakan juru ukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) mengaku bersalah atas pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mohd Azhar Othman.

Terdahulu, tertuduh berdepan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memperoleh suapan wang berjumlah RM14,500.

Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi melancarkan proses tuntutan bayaran yang dibuat oleh syarikat AMZ Sepakat Sdn. Bhd, kepada pihak UNISZA.

Dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Malike dituduh menerima sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang juga satu suapan berkait dengan kerja-kerja rasmi.

Kesalahan tersebut dilakukan bermula dari Mei 2019 sehingga Julai 2020.

Tertuduh kemudiannya membuat pengakuan bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen yang sama.

Malike dijatuhkan hukuman denda RM2,500 dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu sebuah motosikal jenis Yamaha yang diterima tertuduh dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob.

Manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Show More

Related Articles

Back to top button