PM X

Anwar tiba di New Delhi, giat usaha tarik pelaburan ke dalam negara

NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di ibu negara India di sini malam tadi, untuk lawatan rasmi tiga hari.

Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam, di sini pada jam 9.47 malam (12.17 tengah malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri berkata, lawatan itu adalah bagi mengukuhkan hubungan Malaysia-India dan mewujudkan agenda kerjasama baharu dalam pelbagai sektor untuk masa hadapan.

“Alhamdulillah, saya dan delegasi Malaysia selamat tiba di New Delhi, India bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari.

“Kunjungan ini akan membuka peluang kepada saya dan rakan sejawat membincangkan kemajuan hubungan kedua-dua negara selain menerokai bentuk kerjasama baharu,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital Gobind Singh Deo; dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Steven Sim.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, usaha berterusan juga akan terus dipergiat di India bagi menarik para pelabur berpotensi untuk melabur di Malaysia.

“Doakan agar urusan kami dipermudahkan, InsyaAllah,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button