Berita Semasa

BNM kekalkan OPR 3.00 peratus

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Dalam kenyataannya, ekonomi global terus berkembang dengan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

“Pertumbuhan global dijangka berkekalan dengan rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurangan akan diimbangi oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.

“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa prospek inflasi dan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam isu inflasi, BNM menyatakan inflasi keseluruhan dan inflasi teras berada pada purata 1.8 peratus pada lima bulan pertama 2024.

“Inflasi dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini namun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan kos yang dilaksanakan.

“Pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri terhadap subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” katanya.

BNM menjangka inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi keseluruhan tahun ini akan berada dalam jajaran yang diunjurkan sebelum ini, masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua 2024.

“Ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik.

“Eksport dijangka disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh,” katanya.

Mengenai nilai ringgit, BNM percaya mata wang tempatan itu akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran seperti jangkaan hala tuju dasar monetari ekonomi utama serta ketegangan geopolitik yang berterusan.

Ujarnya, kesan positif daripada inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat membantu mengekang tekanan terhadap ringgit.

“BNM akan terus menangani risiko yang berpunca daripada ketidakstabilan pasaran kewangan yang ketara. Pada jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang berpanjangan kepada ringgit,” tambahnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button