Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua remaja mengaku salah baling pasu bunga di hadapan Balai Polis

PETALING JAYA – Dua remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, kerana membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang minggu lalu.

Kedua-dua remaja tersebut membuat pengakuan dalam satu prosiding tertutup di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad hari ini.

Prosiding ini dijalankan secara tertutup kerana mereka masih di bawah umur.

“Mahkamah menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh untuk jatuh hukum setelah menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merosakkan kereta Proton Saga milik seorang lelaki berusia 18 tahun, dengan menyebabkan kerugian sebanyak RM500.

“Kejadian ini berlaku di tepi jalan hadapan Balai Polis Serdang pada jam 6.30 pagi, 2 Jun lalu,” katanya.

Pesalah Juvana itu didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

“Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara antara satu hingga lima tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli, manakala kedua-dua remaja tersebut diwakili oleh peguam Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.

Pada Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua remaja tersebut ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada pukul 4 petang, Selasa lalu.

Katanya, suspek telah memberitahu lokasi serpihan batu atau pasu yang digunakan dalam tiga kejadian khianat, termasuk insiden di Balai Polis Serdang pada hari yang sama.

Show More

Related Articles

Back to top button