Berita Semasa

987 daripada 253,822 bayi alami masalah pendengaran

CYBERJAYA – Sebanyak 987 daripada 253,822 bayi didiagnosis mengalami masalah pendengaran pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, saringan itu dibuat menerusi Program Saringan Pendengaran Bayi Universal (UNHS).

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kerjasama semua pihak, sebanyak 68,823 bayi baru lahir telah berjaya disaring pendengaran mereka sebelum mencapai umur 29 hari, bermula dari 13 Disember 2023 hingga 21 Mac lalu, iaitu 138 peratus daripada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Bakat Amal Hear Me’s Got Talent 2024 di sini hari ini.

Katanya, beliau sangat menitikberatkan pengesanan awal masalah kesihatan bayi khususnya dalam pendengaran.

Sehubungan itu, katanya, melalui program tersebut ia dapat menyaring pendengaran bayi baru lahir dan telah dijadikan salah satu KPI 100 hari Menteri Kesihatan pada tahun lalu.

Sementara itu, beliau menambah Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan permohonan rakyat Malaysia untuk perolehan peralatan pendengaran atau pembedahan implan koklea menerusi selaku Urusetia Tabung Bantuan Perubatan.

“Bilangan pemasangan implan koklea yang telah dilaksanakan di bawah Program Implan Koklea KKM dari 2019 hingga 2023 melibatkan sejumlah 272 unit, dengan perbelanjaan sekitar RM21 juta,” katanya.

Dzulkefly juga menggesa semua pihak tidak memainkan stereotaip dan stigma masyarakat terhadap orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.

Show More

Related Articles

Back to top button