Berita Semasa

Adam Adli rasmi Program Semarak Hari Belia dan Sukan (HBN) 2024 di Putrajaya

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim hari ini menyempurnakan Program Semarak Hari Belia dan Sukan (HBN) 2024 dan Konvensyen Belia Integriti Nasional yang diadakan di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini.

Katanya, HBN merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan oleh kerajaan kepada belia di Malaysia untuk memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara.

“Ini sekaligus memperluaskan akses belia kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, selaras dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030),” katanya dalam kenyataan media.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KBS, Tan Sri Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Dalam pada itu Konvensyen Belia Integriti Nasional dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang.

“Konvensyen ini juga menyentuh mengenai pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan, serta sistem dan proses kerja yang mematuhi amalan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu KBS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Dalam pada itu HBN juga akan diteruskan di peringkat negeri bermula pada 17 hingga 19 Mei 2024 dengan diisi oleh Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri.

“Kemuncak sambutan HBN adalah penganjuran Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Yakin Boleh!’ yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Mei 2024 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka.

“Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei 2024,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button