Berita SemasaHiburan

Loudness: Perjalanan legenda heavy metal Jepun

LOUDNESS, satu nama besar yang tidak asing dalam dunia muzik heavy metal. Mereka membawa getaran kuat dan penuh energetik di pentas antarabangsa sejak penubuhannya pada tahun 1981.

Alunan bunyi gitar yang memukau dan vokal yang cukup bertenaga, Loudness mengukir nama sebagai salah satu kumpulan metal paling berpengaruh di dunia.

Kisah mereka bermula dengan penubuhan kumpulan pada tahun 1981 di Osaka, Jepun.

Loudness dibarisi ahli asal mereka iaitu gitaris Akira Takasaki dan penyanyi Minoru Niihara, menjadi antara pencetus kumpulan heavy metal paling berjaya di peringkat global.

Album pertama mereka, “The Birthday Eve” (1981), memberikan signifikan besar dalam industri muzik rock tempatan, dan kejayaan seterusnya diikuti dengan album “Disillusion” (1984) dan “Thunder in the East” (1985).

Namun, kejayaan terbesar Loudness boleh dikatakan terletak pada potensi muzik bersifat universal mereka sehingga mendapat pengiktirafan di pentas global yang tidak dicapai mana-mana band dari Jepun.

Melalui penampilan dan sambutan hebat di Amerika Utara, Eropah dan Asia, Loudness membuktikan bahawa bakat mereka merentasi sempadan budaya.

Pada tahun ini, peminat muzik heavy metal Malaysia akan dipersembahkan “LOUDNESS WORLD TOUR 2024, GREATEST EVER HEAVY METAL LIVE IN MALAYSIA” yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 September.

Kehadiran Loudness di Malaysia yang dibawakan oleh Rockstage Entertainment menandakan penghormatan kepada peminat setia mereka di rantau Asia Tenggara pada masa sama memperluaskan pengaruh muzik mereka kepada generasi baru.

Dengan gabungan lagu-lagu klasik dan baru, Loudness akan menggemparkan pentas dan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai legenda yang terus bergema dalam dunia heavy metal.

Bagi para peminat muzik metal, “LOUDNESS WORLD TOUR 2024” merupakan acara yang tidak boleh dilepaskan, yang mana kekuatan dan semangat metal ‘bersatu’ dalam satu persembahan yang mengagumkan.

Tiket kini dijual secara dalam talian di https://www.myticketempire.com/ atau hubungi talian 014-2053370 untuk sebarang pertanyaan.

Show More

Related Articles

Back to top button