Berita Semasa

15,000 premis makanan seluruh negara tawar Menu Rahmah serendah RM5

SUBANG JAYA – Kira-kira 15,000 pengusaha restoran seluruh negara menawarkan Menu Rahmah serendah RM5 bagi mengatasi masalah kos sara dalam kalangan golongan B40, bermula hari ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, beliau terkejut dengan Menu Rahmah yang ditawarkan kerana terdiri daripada pelbagai jenis makanan.

“Saya agak terkejut pada awalnya saya jangkaan menu ini hidangan untuk makan tengah hari atau malam yang terdiri daripada sepinggan nasi, ayam atau ikan dan sayur.

“Apa yang buat saya terkejut adalah, mereka ini lebih kreatif daripada yang kita sangkakan. Ada pula nasi ayam, nasi paprit, nasi ayam, roti john, shawarma dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas  merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah di Pusat beli belah Mydin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) juga akan memperkenalkan pelbagai Inisiatif Rahmah dalam masa terdekat.

“Ada juga pakej harga barang Rahmah, ada 13 barang asas yang boleh dibeli dibawah harga yang telah ditetapkan.

“Akan ada juga Kafe Rahmah yang kita akan buka di Universiti sekitar Kuala Lumpur terlebih dahulu yang menyediakan makanan tengah hari percuma dan sarapan pagi serta makan malam dengan potongan harga 50 peratus,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kesemua inisiatif tersebut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada penghujung Mac tahun ini.

“Inisiatif Rahmah ini akan kita cuba selesaikan paling lewat pada penghujung bulan 3. Insya-Allah semua  inisiaitf yang merangkumi bakul, pakej harga, menu, kafe akan dapat diselesaikan,” jelasnya.

Di samping itu, Pasar Raya Mydin turut menyumbang 5,000 pek makanan Menu Rahmah kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terdiri daripada golongan B40.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata, pihaknya juga komited untuk memastikan semua pengusaha makanan di pasar rayanya di seluruh negara, akan menyediakan Menu Rahmah, untuk tempoh tiga bulan dan akan diteruskan bergantung kepada keadaan ekonomi.

Untuk rekod, inisiatif Menu Rahmah ini adalah hasil kerjasama antara wakil-wakil persatuan restoran seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Turut sama menjayakan inisiatif ini, Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors General Association (MCSPGA), Bumiputra Retailers Organization (BRO), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), dan Malaysia Retailers Association (MRA).

Show More

Related Articles

Back to top button