Berita Semasa

Harga jualan beras putih import turun mulai esok

Penurunan antara RM2 hingga RM3

PUTRAJAYA – Harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) akan diturunkan antara RM2 hingga RM3 berkuat kuasa esok.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan berkaitan Pelarasan Harga Beras Putih Import (BPI) serta Beras Putih Tempatan (BPT) itu dimuktamad Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang bersidang hari ini.

“Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang.

“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan sama turut menyebut, seiring keputusan supaya 14,000 tan metrik BPT diproses serta merta, KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.

“Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program,” katanya.

Katanya, kerajaan turut bersetuju semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI, sekaligus membolehkan bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini.

“Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran.

“KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan,” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button