Hiburan

Pembunuh Malam menang Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2023

PUCHONG – Kumpulan Lunar meraih puncak kejayaan dalam industri muzik indie Malaysia apabila karya mereka, “Pembunuh Malam” dianugerahkan sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Lagu Indie 2023.

Acara yang berlangsung di Spacerubix, ESI Grand Hall, Puchong, baru-baru ini menyaksikan penyampaian gelaran juara anugerah lagu indie kepada Lunar.

Melalui karya yang ditulis oleh komposer dan penulis lirik, Hazeeq Hilman dan Muhd Haziq, Lunar membawa pulang hadiah bernilai RM15,000 untuk kategori Lagu Terbaik serta RM5,000 untuk kategori Lagu Pop Terbaik, selain trofi pengiktirafan.

Di samping itu, Kumpulan Odelia Tirza meraih anugerah untuk Kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu “Stargazing”, yang turut menghasilkan ganjaran sebanyak RM5,000 berserta trofi.

Antara anugerah lain pada majlis berprestij itu termasuk Anugerah Lagu Hip Hop Terbaik yang disandang kumpulan LXF yang menerusi lagu “LXF”, kumpulan Vota yang meraih gelaran Lagu Rock Terbaik menerusi karya mereka yang berjudul “Vota”.

Setiap kumpulan menerima ganjaran sebanyak RM5,000 bersama trofi sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka.

Sebanyak 15 lagu bersaing dalam tiga kategori rock, pop dan hip-hop pada edisi yang diadili panel juri yang terdiri daripada personaliti muzik ternama seperti WingMeng Sg, Juwito Suwito, AG Coco, Edwin Raj, Diandra Arjunaidi, Roshan Jamrock, dan Adriana Adnan.

Penilaian juri menyumbang sebanyak 70 peratus kepada markah keseluruhan, sementara 30 peratus adalah hasil daripada undian peminat secara dalam talian sejak 26 Februari lalu.

Penyertaan pada tahun ini menampilkan 626 lagu, dengan lebih daripada 11,000 undian yang didaftarkan melalui laman web rasmi Anugerah Lagu Indie.

Ini menandakan minat yang tinggi dalam muzik indie tempatan serta sokongan yang kukuh daripada komuniti peminat.

Anugerah Lagu Indie terus menjadi platform penting bagi kumpulan-kumpulan muzik indie untuk menonjolkan bakat mereka dan mendapat pengiktirafan yang layak dalam industri muzik Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button