Berita Semasa

Ketua Audit Negara kemuka 16 syor tambah baik pengurusan kewangan Agensi Persekutuan

KUALA LUMPUR – Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan bagi 2022, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi telah mengemukakan 16 syor kepada Agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

Syor tersebut antara lain ialah, Ketua Agensi Persekutuan hendaklah mengemukakan Penyata Kewangan untuk diaudit mengikut tempoh yang ditetapkan selain geran dibelanjakan mengikut tujuan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pinjaman yang dibuat oleh Agensi Persekutuan dijelaskan mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan supaya tidak membebankan Kerajaan Persekutuan yang perlu menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya.

“Selain itu, mengkaji semula penubuhan syarikat subsidiari yang dorman, mengalami kerugian, dan tidak memberi pulangan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LKAN mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan bagi 2022 menunjukkan 10 Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion.

Berdasarkan LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, sebanyak empat daripada 10 agensi tersebut mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion, manakal tiga daripada empat Agensi Persekutuan tersebut telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman.

Sementara itu, setakat 11 Januari tahun ini, sebanyak 140 daripada 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2022 telah dikemukakan untuk pengesahan Ketua Audit Negara.

Daripada jumlah tersebut, 130 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 telah selesai pensijilan.

Sebanyak empat Agensi Persekutuan masih belum mengemukakan Penyata Kewangan tahun 2022 disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah.

Show More

Related Articles

Back to top button