Berita SemasaPM X

Kerajaan tidak terlibat keputusan Mahkamah Persekutuan – PM Anwar

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan terlibat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Kata Anwar, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan sedemikian berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga tidak ada kena-mengena dengan (Mahkamah) Syariah… kuasa negeri. Katalah (pada persidangan) Dewan (Undangan) Negeri (DUN) bulan depan, Ketua Menteri buat beberapa undang-undang baharu yang bercanggah dengan kuasa Negeri dan kuasa Perlembagaan Persekutuan maka boleh dirujuk dan Mahkamah Persekutuan akan dapati sekiranya bercanggah, akan membatalkan (undang-undang yang dibuat pada sidang DUN),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pembangkang bagaimanapun memainkan sentimen agama dalam usaha menonjolkan Kerajaan Persekutuan pimpinan beliau menentang Islam sedangkan permohonan kedua-dua wanita difailkan ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan.

“… dia tahu (tentang kuasa Persekutuan dan Negeri) tapi dia gunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar ini memang menentang syariah padahal tidak ada kena-mengena dengan kita.

“Undang-Undang Negeri Kelantan, yang cabar orang Kelantan, dia cabar di Mahkamah Persekutuan bukan Kabinet, bukan Perdana Menteri dan nak tanya sama ada undang-undang itu ikut, sah dari segi proses atau tidak dan mahkamah memutuskan dari segi bidang kuasa dan proses, tidak betul.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu Perikatan Nasional, dia tak bantah (ketika permohonan cabaran undang-undang dikemukakan). Ini berlaku pada 2020 dan 2021 (tapi) sekarang dibantah, dijadikan bahan politik,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji perkara berkaitan undang-undang syariah di setiap negeri.

“Dulu tidak ada tindakan di peringkat jawatankuasa kebangsaan untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah dan kuasa tentang hukum syariah, sekarang sudah ada.

“Apa peranan dia? Untuk memutuskan peranan Mahkamah Syariah dalam negara ini. Jadi saudara-saudara, isunya apa? Isunya ialah bidang kuasa Negeri dan bidang kuasa Persekutuan. Isu yang dimainkan oleh pembangkang ialah kita menentang syariah,” kata Anwar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button