Luar Negara

Kelahiran bayi pramatang di Gaza meningkat 30 peratus

GENEVA – Badan amal, British Oxfam memaklumkan bilangan kelahiran bayi pramatang di Gaza meningkat hampir satu pertiga akibat tekanan dan trauma dalam kalangan ibu.

Memetik laporan Reuters, berpuluh-puluh bayi pramatang menjadi tajuk utama minggu ini apabila mereka diselamatkan dari hospital utara Gaza dan dipindahkan ke Mesir selepas kemudahan itu diserang.

Bahagian utara wilayah terkepung yang padat dengan penduduk menjadi sasaran kempen ketenteraan Israel selama enam minggu menentang kumpulan pejuang Hamas yang memerintah Gaza dengan tiada hospitalnya berfungsi seperti biasa.

Juzoor, sebuah organisasi rakan kongsi Oxfam yang menyokong ratusan wanita hamil di Gaza, berkata bilangan kelahiran pramatang meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus bulan lalu, mengaitkan peningkatan kesukaran dihadapi ibu yang terpaksa meninggalkan rumah berikutan pengeboman, sekali gus menyaksikan golongan ini mengalami tekanan dan trauma.

Bayi pramatang lebih terdedah kepada penyakit dan Juzoor berkata sekurang-kurangnya seorang bayi baru lahir meninggal dunia di setiap 13 pusat perlindungannya untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di utara Gaza sejak sebulan lalu.

Malah sebelum konflik semasa, Gaza mempunyai kadar kematian bayi yang tinggi, dengan kematian bayi baru lahir mewakili 68 peratus daripada jumlah keseluruhan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Wilayah Timur Tengah Oxfam, Sally Abi Khalil, , berkata beberapa ibu yang kehilangan tempat tinggal terpaksa bersalin di dalam bilik darjah yang sesak, tanpa sokongan perubatan atau kebersihan asas.

“Saya tidak fikir ada sesiapa pun di dunia yang tidak bersetuju bahawa keadaan ini tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button