Berita Semasa

Bukan 4 hari, Malaysia mahu gencatan senjata berkekalan – Fahmi

KUALA LUMPUR – Malaysia berharap gencatan senjata di Gaza dibuat selamanya bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan harta benda musnah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, langkah menguatkuasakan gencatan senjata selama empat hari merupakan langkah pertama bagi menghentikan genosid di Gaza.

“Saya rasa ini langkah pertama, saya percaya bahawa mungkin lebih banyak lagi yang perlu dilakukan, kerana Israel tidak menunjukkan bahawa ia berhasrat untuk menghentikan peperang ini, dan bagi saya ini sangat membimbangkan.

“Dan pada masa yang sama, kami berharap tiada lagi peningkatan konflik, terutamanya di kawasan sempadan, contohnya, antara Lubnan dan Israel,” katanya dalam temubual bersama Aljazeera yang disiarkan hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Malaysia juga berharap supaya satu kesepakatan di peringkat antarabangsa dapat dicapai bagi menghentikan konflik tersebut.

Pada masa sama, katanya, Malaysia bersedia memainkan peranan yang lebih besar dan penting dalam menghentikan pembunuhan dan perang di Gaza.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, meskipun Malaysia bukan anggota Statut Rom yang tidak boleh membawa pemimpin Israel ke meja pengadilan, Malaysia bersedia membantu membawa kes pendakwaan terhadap pemimpin Israel atas jenayah perang terhadap rakyat Palestin.

Semalam, Hamas mengesahkan mendapat persetujuan untuk gencatan senjata selama empat hari bersama Israel di bawah medisiasi Qatar dan Mesir selepas 46 hari pembunuhan berlaku di Gaza.

Di bawah perjanjian itu, Hamas bersetuju untuk membebaskan 50 rakyat Israel dengan pertukaran 150 tawanan Palestin di bawah tahanan Israel.

Show More

Related Articles

Back to top button