Berita Semasa

KKM akan lancar Pelan Advokasi Gula

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Pelan Advokasi Gula dalam masa terdekat bagi meningkatkan kesedaran awam berikutan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), terutamanya kencing manis di dalam negara.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu menyasarkan semua peringkat usia dan melibatkan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“KKM akan melancarkan satu pelan iaitu pelan advokasi gula dalam masa terdekat ni insya Allah, ini sebagai satu usaha untuk tangani penyakit tidak berjangkit, penyakit kencing manis.

“Pelan ini meliputi semua peringkat umur dan kita mulakan di peringkat kanak-kanak lagi di pra-sekolah, sekolah rendah serta dan juga IPTA dan IPTS. Malah, ia turut membabitkan golongan dewasa dan warga emas,” kata Dr Zaliha.

Beliau menambah, pelan itu akan turut melibatkan penyertaan NGO, persatuan ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat Parlimen.

Beliau berkata demikian pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, KKM kini berada dalam fasa akhir sesi libat urus bersama persatuan penjaja bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat secara menyeluruh.

KKM turut mengadakan perbincangan dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil Putrajaya untuk menyediakan pilihan minuman tanpa gula dengan slogan satu sudu teh sudah cukup, kurang lebih baik, tiada (gula) terbaik.

Show More

Related Articles

Back to top button