BERITA SEMASAPOLITIK

9 MP PKR seolah letak tengkuk Anwar di bawah Guillotine – Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, memberi peringatan tegas bahawa sembilan Ahli Parlimen PKR yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pelantikan dalam badan kehakiman perlu bersedia memikul tanggungjawab sekiranya tindakan mereka menyebabkan kejatuhan kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tuntutan yang diketuai oleh Rafizi Ramli itu seolah-olah menunjukkan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden PKR sendiri.

“Jika RCI ditubuhkan, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang memegang kuasa pelantikan hakim akan berada dalam kedudukan sebagai suspek utama dan perlu disiasat.

“Ini adalah implikasi serius hasil daripada desakan sembilan Ahli Parlimen PKR itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Hassan, RCI hanya boleh ditubuhkan dengan persetujuan Anwar selaku Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri, dan tanpa persetujuan itu, desakan berkenaan hanya akan merosakkan imej kerajaan serta meletakkan Anwar dalam keadaan yang amat genting.

“Apa yang dilakukan sembilan Ahli Parlimen ini seperti meletakkan tengkuk Anwar Ibrahim di bawah guillotine seperti dalam Revolusi Perancis,” katanya lagi.

Beliau turut mengakui isu yang dibangkitkan berhubung pelantikan kehakiman adalah sah dan mempunyai merit serta mendapat perhatian rakyat, namun tindakan itu berisiko menjejaskan kestabilan kerajaan.

“Soalnya sekarang, adakah mereka benar-benar bersedia berhadapan dengan kemungkinan kerajaan tumbang akibat desakan itu?

“Jika ya, maka berlakulah pemberontakan dalaman dalam PKR,” katanya lagi.

Jelasnya, walaupun tindakan sembilan MP itu mencerminkan demokrasi sihat dari sudut Parlimen, namun dari aspek politik parti, ia merupakan satu bentuk penentangan terbuka terhadap kepimpinan Anwar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tambah beliau, terdapat dalam kalangan pemimpin PKR yang sudah hilang sabar dan keyakinan kerana melihat kerajaan MADANI banyak berkompromi sehingga dilihat bersikap hipokrit dalam beberapa isu.

Sehubungan itu, Hassan menasihatkan supaya Anwar bertindak bijak menangani isu ini sebaik pulang dari lawatan luar negara kerana ia melibatkan soal integriti dan kepercayaan dalam parti.

“Isu kehakiman ini bukan isu kecil, malah ia adalah paling serius yang pernah dihadapi Anwar sebagai Presiden dan Perdana Menteri. Sekarang ini ibarat buku telah bertemu ruas,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Hassan tetap menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Anwar dan akan terus mempertahankan kerajaan MADANI yang diterajui beliau.

“Saya masih percaya kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan akan mempertahankan kedudukan beliau dan kerajaan ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button