BERITA SEMASALUAR NEGARA

32 maut dalam serangan bersenjata di Nigeria

ABUJA – Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan serentak ke atas tiga komuniti di wilayah utara-tengah Nigeria, menurut pihak berkuasa dan penduduk tempatan, semalam.

Serangan pada waktu subuh itu menyasarkan komuniti Tunga-Makeri, Konkoso dan Pissa di kawasan Borgu, negeri Niger.

Jurucakap Polis Negeri Niger, Wasiu Abiodun berkata, enam mangsa disahkan maut dalam serangan di Tunga-Makeri, manakala sejumlah individu lain turut diculik.

“Bilangan sebenar mangsa diculik masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Beliau memaklumkan pasukan keselamatan telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi membuat penilaian serta melaksanakan operasi menyelamat mangsa yang terlibat.

Sementara itu, seorang penduduk Konkoso, Abdullahi Adamu mendakwa seramai 26 orang terbunuh dalam serangan di kampungnya.

“Mereka bertindak bebas tanpa kehadiran mana-mana pasukan keselamatan,” katanya.

Wilayah utara Nigeria kini berdepan krisis keselamatan yang kompleks membabitkan kumpulan militan Islam serta kumpulan bersenjata yang aktif menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan.

Serangan terbaharu itu berlaku susulan insiden berdarah awal bulan ini di negeri jiran, Kwara State, yang meragut 162 nyawa.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Nigeria turut menjadi perhatian kerajaan Amerika Syarikat yang menuduh pihak berkuasa negara itu gagal melindungi penganut Kristian, walaupun serangan turut menjejaskan komuniti Islam.

Tuduhan berkenaan membawa kepada kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara, termasuk tindakan ketenteraan Amerika Syarikat menyasarkan kumpulan bersenjata di wilayah Nigeria pada Disember lalu, selain kehadiran pasukan tentera Amerika di negara Afrika Barat itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button